Jumaat, 19 April 2013

Bahasa ‘alam...memang makanan aku!

Bahasa ‘alam...memang makanan aku!



Terserempak saya dengan si biawak . Terkedek-kedek merangkak lalu memanjat tebing sungai dengan gembiranya sambil menggonggong mangsa, tikus barangakali. Saya terkejut, dia juga terkejut. Saya tidak lari tetapi dia yang lari. Terjun semula ke dalam sungai tasik Laman Ilmu Dan Budi ini dengan mulutnya masih kejap menggonggong mangsanya. Melarikan diri sepertilah saya ini mahu merampas makanannya itu. Saya hanya memerhati dan sekejap itu dia menghilangkan diri ke dalam sungai lebar yang berkeladak susu. Lalu saya meneruskan langkah, berlari-lari anak di pinggir sungai yang hanyir baunya pada pagi-pagi hening begini.


Hanya beberapa langkah sahaja tiba-tiba dua ekor tupai kejar-mengejar di sisi. Saya tidak tahu jantinanya, apakah seekor betina dan seekor lagi jantan atau kedua-duanya betina atau kedua-duannya jantan. Andai seekor betina dan seekor jantan, adatlah saling ada daya tarikan semulajadi. Andai kedua-duanya daripada jantina yang sama, adatlah juga, berebut-rebut benda yang sama atau peluang yang ada sedangkan kalau mahu boleh sahaja berikhtiar mencari tanpa perlu saling berkejar dan saling berebut begini. Jadi satu keseronokan pula haiwan ini berkejar-kejar dan berebut-rebut. Saya mendiamkan diri dan sungguh kedua-dua ekor tupai ini tidak peduli saya yang ketawa memerhati.


Saya masih berdiri di laluan pejalan kaki apabila bunyi decuhan air menarik anak mata ini untuk melirik ke sungai tasik semula. Si bangau, rutin paginya , sibuk mengoyakkan paruhnya lebar-lebar lalu mengais-ngais celahan air mencari-cari ikan yang tenggelam-timbul bermain sembunyi-sembunyi. Bagaimana agaknya perasaan ikan-ikan ini dengan kehadiran bangau-bangau yang sedang lapar begitu? Tentu tidak aman untuk meliuk-lentuk dan menyelam-nyelam mencari rumput-rumpai laut atau apa sahaja yang boleh dimakan. Tidak kasihankah si bangau-bangau ini kepada ikan yang juga inginkan ketenteraman dan kebebasan.  Ah, adat 'alam, dia memang makanan aku! Pasti itu yang akan dijawab si bangau.


Di pinggir sungai saya jadi kaku seketika. Fikiran cuba menghadam bahasa 'alam. Memikirkan manusia yang juga makhluk ciptaan Tuhan. Berkejar-kejar , berebut-rebut dan rampas-merampas dalam bahasanya yang tersendiri pula. Yang lemah , yang miskin dan yang tidak ada daya menjadi mangsa kepada yang kaya , yang kuat dan yang berpengaruh. Adat 'alamkah berebut-rebut , saling bertingkah dan saling membenam. Tidak ada rasa belaskah antara sesama manusia ini ? Apakah akan ada juga yang berkata ... ‘memang makanan aku’.


Begitulah …..............di sebalik bahasa ‘alam! Lalu saya meneruskan langkah di Laman Ilmu Dan Budi ini meninggalkan biawak yang sedang lahap mengoyak bangkai tikus, si tupai-tupai yang kecoh kejar-mengejar dan si bangau-bangau yang tidak berputus asa mencari mangsanya yang hilang bersembunyi di sebalik sungai yang hanyir dan berkeruh-keladak susu.  itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan