Khamis, 21 November 2013

Ar-Raad...Takut dan Harap

Ar-Raad...Takut dan Harap


Pada setiap lintasan kilat, ketikan petir dan deruman guruh yang menakutkan, ada rahmat Tuhan yang melimpah ruah. Limpahan hujan yang menghidupkan bumi selain memberi nafas kepada jaluran sungai agar jangan berhenti mengalir. Berita gembira buat hamba-hamba-Nya yang ketandusan dan menanti dengan penuh harapan. Jika yang didatangkan itu adalah petaka besar , meranapkan kehidupan , menjadikan manusia termangu-mangu dalam tangisan, datangnya juga adalah dengan titah Tuhan, sebagai peringatan bahawa alam ini adalah dalam genggaman-Nya. Pastinya ada rahmat yang tersirat yang tidak terjangkau oleh akal manusia yang sejengkal.

Ahad, 13 Oktober 2013

SURAH AN-NAHL LEBAH

SURAH AN-NAHL
LEBAH
Juzu’ ke 14 : Surat ke 16
Tafsir Al-Azhar :Prof. Dr HAMKA

                    Surat ini bernama An- Nahl, ertinya LEBAH, iaitu surat ke 16 yang terdiri daripada 128 ayat. Nama Lebah diambil daripada ayat 68 yang membicarakan bahawa Allah telah memberikan ilham atau naluri kepada lebah agar dia membuat sarang di gunung-gunung , di pohon-pohon kayu atau pun di bumbungan rumah-rumah lalu menghirup buah dan kembang untuk menghasilkan madu. Dengan membaca keadaan lebah itu, manusia diperkenalkan akan kekuasaan Allah atas ‘alam, ke’ajaiban yang terkandung di dalamnya, apa tah lagi madu lebah itu adalah ubat yang amat mujarab bagi pelbagai penyakit.

                        Surat ini , sebagai surat-surat yang diturunkan di Makkah adalah menghimpun pokok ‘akidah yang besar, tentang ketuhanan, tentang wahyu dan tentang Hari Kebangkitan kelak. Tetapi disamping itu dia pun mempertautkan tentang ‘akidah ajaran Nabi Muhamad sallah Allah alaydhi wasallam dengan akidah ajaran Nabi Ibrahim ‘alayhi salam. Mengandung juga akan hakikat kemahuan Tuhan yang tidak terbatas dan perbandinganya tentang keinginan-keinginan manusia yang sangat sempit batasnya , yang semua itu menuntun kepada IMAN dan menolak KUFUR, membawa kepada petunjuk menolak kesesatan. Mengandung juga tugas dan kewajipan Rasul-rasul yang diutus Tuhan dan bagaimana pula sunnatulLah yang pasti berlaku bagi barangsiapa yang menolak risalat Rasul itu dan mendustakannya. Mengandung juga tentang halal dan haram , dan bagaimana pula karut marut kepercayaan kepada berhala yang berkenaan dengan ini. Di dalam surat ini juga dibentangkan tentang sabililLah, jalan tuhan yang harus ditempuh dan ujian terhadap Muslim yang setia memegang teguh agamanya dan betapa celakanya kafir sesudah iman.

                     Kemudian itu ditekankan pula tentang perlengkapan-perlengkapan dalam pergaulan hidup dengan sesamanya manusia. Bagaimana supaya berlaku ‘adil dan berbuat ihsan dengan sesama dan kesudian berkorban buat menolong orang lain dan keteguhan memegang janji dan setia kepada apa yang telah dijunjung tinggi bersama.

                      Semuanya itu diterapkan dalam keluasan ‘alam, pada ketujuh tingkat langit dan bumi, kadang-kadang pada hujan yang turun, pada sungai-sungai yang mengalir , pada kayu-kayuan yang tumbuh dengan suburnya , pada pergantian antara siang dan malam, pada peredaran matahari dan bulan dan bintang-bintang. Lanjut kepada lautan dengan pelayarannya yang jauh atau pun pada gunung-gunung sebagai pasak tiang dari bumi dan pada jalanraya-jalanraya yang terentang dan kadang-kadang sungai yang lebar pun menjadi jalan penghubung antara manusia. Kadang-kadang dipertunjukkan bagaimana pentingnya hubungan antara insan dengan ‘alam yang ada di sekelilinganya sampai kepada binatang-binatang ternak itu mendapat faedah , memakan dagingnya, meminum susunya dan mengambil bulunya akan pakaian atau pun akan tenda-tenda dan khemah.

                Dengan jangkauan yang begitu luas, surat ini sebagaimana kebiasaan surat-surat yang diturunkan di Makkah telah membawa manusia berfikir tentang hubungannya dengan Tuhan, dibangkitkan akalnya dan disandarkan batinnya sehingga terjadilah isi mengisi antara akal yang sedang berjalan mencari jawab pertanyaan yang bertubi datang dengan suara jiwa yang terharu melihat apa yang berada di sekeliling itu, sehingga akhirnya mahu atau pun tidak mahu, manusia dihadapkan dengan kenyataan, bahawa alat-alat yang ada padanya, terutama pancainderanya, lima alat penangkapnya, dia sebenarnya tidak terpisah daripada ‘alam di bawah kekuasaan satu Tuhan.. Maka melihatlah dia kepada langit dengan bintang-bintangnya, bumi dengan airnya yang mengalir dan sungainya yang berbelit-belit , matahari dan bulannya, siangnya dan malamnya, lautnya dan daratnya, tempat yang terlindung atau pun padang pasir yang terik, binatang-binatang dan burung-burungnya; semuanya itu membawa kenangannya kepada dunianya dan akhiratnya , dan melihat yang lahir pada mata dan terdengar pada telinga, dia pun sampai kepada satu kesimpulan akan adanya lagi yang ghaib, yang pancaindera tidak dapat mencapainya, tetapi dapat ditangkap oleh perasaan dan akal.

                   Diterangkan juga dalam surat ini tentang kehidupan manusia mulai masa dalam kandungan, sampai dia lahir ke dunia, sampai dia menjadi dewasa dan sampai tua dan akhirnya maut pun datang. Maka tepatlah surat ini jika dinamai an-Nahl :LEBAH. Sebagai dikatakan oleh pentafsir al-Muhayami, “Tidak jauh dari kemungkinan ilham yang DIA berikan kepada lebah itu; dapat dia mengambil sari dari buah-buah dan kembang yang ada dalam kitab itu”.

Sabtu, 12 Oktober 2013

Al-HIJR : BATU GUNUNG Juzuk 14 : Surah 15




Al-HIJR
BATU GUNUNG
Juzuk 14 : Surah 15



                  Al Hijr adalah nama dari surat ini. Erti yang asal adalah ‘Batu Besar’ atau ‘Batu Gunung’. Turut menjadi nama daripada negeri kediaman kaum Thamud yang didatangi oleh Nabi Saleh, satu antara nabi-nabi yang dibangkitkan dalam kalangan bangsa Arab. Nabi-nabi daripada arabi ialah Nabi Hud, Nabi Saleh, dan Nabi Muhammad. Di hitung juga nabi arabi, Nabi Ismail sebab dia diutus kepada Bani Jurhum yang datang daripada bangsa Arab.


                         Disebut tempat kaum Thamud itu dengan al-Hijr kerana negeri mereka terdiri daripada lembah-lembah dan gunung-gunung batu. Mereka mempunyai kepintaran membangun rumah-rumah dan gedung-gedung yang indah megah yang dapat mempertalikan bukit-bukit dengan lembah dan dapat memahat batu-batu gunung itu untuk bangunan. Kisah mereka tersebut dalam surat ini dari ayat 80-ayat 84.



                    Pada surat yang terdiri daripada 99 ayat ini, kita mendapati betapa hebat tentangan kaum Quraisy terhadap ajaran Islam dan sangat kasar sikap permusuhan mereka. Dan bagaimana pula dengan tangkasnya Nabi Muhammad salLahu alayhi wassalam mengemukakan dalil-dalil ajaran Tuhan dan mengambil juga perbandingan kepada kaum-kaum yang telah binasa kerana menentang Nabi-Nabi dan Rasul-rasul mereka.


              Pada surat ini pun dikisahkan kembali tentang pertentangan manusia pertama Adam dengan iblis dan betapa iblis diberi kesempatan melakukan tipu dayanya kepada Insan dan Tuhan memberi ingat kepada iblis bahawa hamba-hamba Tuhan yang ikhlas tidaklah akan dapat dikuasainya sehingga meninggalkan kesan dalam jiwa bahawa sanya keselamatan kita hanya akan terjamin apabila mengabdikan diri kepada Allah dengan sungguh-sungguh pengabdian.

                       Menurut kebiasaan, juzu’ ini sebagai juzu` ke 14 daripada al-Quran dimulai pada ayat yang kedua.Yang pertama adalah akhir daripada juzu’ yang ketiga belas. Ini disebabkan pada zaman dahulu al-Quran telah dibahagi-bahagi menjadi 30 juzu’, menilik beberapa helainya iaitu lapan helai untuk satu juzu’ dengan tidak menilik kepada permulaan surat agar mudah orang membacanya di dalam masjid, kerana amat berat mushhaf yang ditulis dengan tangan diangkat orang.. Dari sinilah asalnya al-Quran 30 juzu’ itu. Dan itulah sebab maka juzu’ 14 dimulai pada ayat 2 dan ayatnya yang pertama masuk pada juzu’ ke 13.

                   
Namun apabila al-Quran mula ditafsirkan tidaklah kita berpegang lagi kepada hitungan juzu’ , apatah lagi khusus bagi juzu’ ke 14 ini yang ketinggalan satu ayatnya pada juzu’ sebelumnya. . Oleh sebab itu dalam penafsiran juzu’ ke 14 ini, ayatnya yang pertama kita ambil daripada hujung juzu’ ke 13 dan kita letakkan sebagai yang mual-mula ditafsirkan pada juzu’ yang ke 14. Sebagaimana kita lakukan pada tafsir juzu’ ke 12, Surah Hud juga adanya.

Selasa, 8 Oktober 2013

SURAT UNTUK ADAM

Surat untuk Adam.

          Apakah kata-kata yang paling baik untuk diungkapkan kepada kalian wahai Adam? Apabila kalian secara jujur dan beradab, dengan santun dan cara yang terhormat memetik sekuntum bunga daripada pemiliknya, lalu dengan rasa tanggungjawab menghulur tangan menggenggam erat dan melafaz ijab dan qabul. Suara gementar , tubuh terketar dan peluh bermanik-manik, lalu dengan lafaz ijab dan qabul, kalian wahai Adam telah mengangkat darjat seorang perempuan daripada status seorang gadis kepada status seorang isteri. Kemudian perempuan itu, yang telah kalian petik dengan adab dan santun telah dengan tulus hati merelakan dan mengikhlaskan diri sebagai ladang untuk disemai benih sehingga lahirnya zuriat yang berdarjat, bakal mewarisi keturunan mulia zaman berzaman. Ah, lafaz ijab dan qabul itu sesungguhnya adalah satu panahan dan libasan api kepada iblis laknatulLah!

                 Tahukah kalian wahai Adam? Iblis itu terus berguling-guling kepanasan lantaran kecewa dan kecundang apabila daripada kalian wahai Adam, pendukung kalimah tayibbah membisikkan ‘La iLaha ill AlLah, Muhammad Rasulullah’, menabuh gegendang telinga tetamu baharu sebaik sahaja terdampar keluar daripada seorang rahim seorang perempuan yang telah kalian petik dengan santun dan beradab.Melahirkan zuriat yang diangkat Tuhan sebagai khalifah sehingga menimbulkan rasa dengki dan sakit hati iblis laknatulLah. Laknat Tuhan terhadapnya telah menyebabkan dia berikrar akan menggelincirkankan kita dan zuriat kita daripada landasan sirat`al mustaqim.

                Wahai Adam! Ini bererti perjuangan kita untuk menikmati narwastu Jannatul Naim bersama-sama tidak akan akan berakhir selama nadi masih terus berdenyut. Kita mesti saling mengikat dan saling memperingat supaya tidak tergelincir seperti mana datuk kita Adam rahimahulLah pernah tergelincir atas kealpaannya. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Pengampun. Namun kita jangan sekali-kali membenarkan iblis laknatulLah terus menyelusup di celah-celah setiap helaan nafas bahkan pada setiap titik lubang rongga sebesar zarah sekali pun pada tubuh kita.

                     Ayuh Adam! Kita bersama-sama meniti quranal arabia pada setiap detik dan kita larutkan dalam setiap diri anak-anak kita Adam. Kita hayati bersama-sama ayat-ayat yang merentas alam . Ingatlah Adam! Di sana sudah menanti jannatin a’liyah, ‘ainun jariyah, sururum marfu’ah. Piala-piala minuman sudah sedia terhidang dengan bantal-bantal yang siap teratur dan hamparan-hamparan yang terbentang. 

                     Ayuh Adam! Kita bina rumah yang abadi di sana. Andainya isteri Fir`aun, Asiah meminta sebuah rumah di syurga lantaran kesabarannya dizalimi suaminya yang kufur dan angkuh, maka alangkah indahnya andainya isterimu Adam, meminta sebuah rumah di syurga lantaran kamu memimpinnya merendah diri lalu sujud meyembah kepada ke Agungan-Nya.

                      Terima kasih wahai Adam! Jiwa santun dan beradab tuan menjadikan kami perempuan yang mempunya harga diri. Lafaz ijab dan qabul kalian Adam telah mengangkat darjat kami sebagai bidadari. Di sana syurga sudah menanti. Sesungguhnya Tuhan tidak pernah memungkiri janji!

sh. umamah sy. abdullah al-edrus 
Kuala Lumpur. 
25 hb. Ogos 2013

Isnin, 7 Oktober 2013

RANGKAIAN MADAH RENUNGAN 3

 RANGKAIAN MADAH RENUNGAN 3

Kata-kata lebih tajam daripada sebilah pedang. 
Kata-kata yang buruk melemahkan jiwa .
Kata-kata yang cantik menjentik perasaan. 
Kata-kata yang dilontarkan mudah terpahat pada sanubari manusia. 

Berkatalah dengan ungkapan yang cantik kerana kata-kata yang cantik akan sentiasa diingati dan sentiasa menghidupkan kebaikan

Abu Hayyan al-Aydrus


Lipatlah perjalanan itu dengan mendampingi mereka yang mengingatkanmu tentang negerimu di sana. Lipatlah lisan diri daripada yang tidak penting, yang tidak perlu atau yang tidak bermanfaat untuk kehidupan ini. Lipatlah perasaan-perasaan hati pada waktunya kerana ia  bekalan terindah memahami saat lebur dan saat siaga.

RANGKAIAN MADAH RENUNGAN 1

RANGKAIAN MADAH RENUNGAN 1

Usahlah masghul.Kelak nanti bumi akan bersaksi dan meluah bangga , hingga tibanya nanti saat tuhaddithu akhbaraha. Di merata dunia akan terbenih ulul albab asal sahaja ummat tidak pernah berhenti bertempur dalam medan memburu 'ilm lalu bertadabbur dengan kerendahan hati. 

Bertindaklah dengan santun. Kalam Agung tidak kabur malah tidak akan berkubur sebagaimana Ka`abah masih tetap teguh meskipun pernah cuba dilebur. Alam ini milik-Nya dan dalam peliharaan-Nya dan Dia tidak pernah memungkiri janji pada hamba-Nya yang tunduk dalam ketaatan-Nya dan sentiasalah kita bertafakkur agar iman terlarut dalam jiwa yang subur.

Ahad, 6 Oktober 2013

PERMAIDANI DAN SEJADAH

PERMAIDANI DAN SEJADAH

Satu perkara yang menyebabkan kita menggelengkan kepala kerana berfikir adalah permaidani dan sejadah. Dan juga pantelon (seluar panjang berkaki lebar yang berkedut di pergelangan kaki) dan kain sarung. Apabila tiba waktu maghib, mohon dicarikan sejadah, begitu payah tuan rumahnya mencarikan,barulah bertemu sejadah , itu pun sudah lusuh. Tidak ada niat untuk menggantikan yang baru sedangkan harga sejadah beberapa sen cuma berbanding permaidani yang beratus ringgit.

Dan ada pula orang yang kain sarungnya buat solat hanya sehelai dan keluarnya hanya ketika kematian. Sedang pantelonnya mahal sampai berkodi. Dan yang perempuan, batik Solonya sepuluh almari dan kain sembahyangnya pelikat bekas suaminya. Akan tetapi kalau ada kematian di dalam rumah, yang begini hampir semuanya khusyuk dan tafakkur nampaknya, sehingga apa yang diperintah wak Lebai diaturnya, walau pun yang sekali-kali bukan agama. Sayang, orang hanya hendak berhubung dengan Tuhan hanya ketika terdesak sedang Tuhan terus menjagainya dan tidak melupakannya.


HAMKA.

Ahad, 29 September 2013

ANJING SALAK BUKIT

ANJING SALAK BUKIT


Berlari-lari dia, mundar-mandir. Berlari-lari di kaki bukit yang sedang duduk diam-diam. Lidah terjelir-jelir dengan liur yang menitik-nitik. Kemudian dia berdiri menghadap bukit. Ekor terkitai-kitai. Kepala menyundak langit. Lalu dia menyalak. Memantul-mantul salakannya. Kemudian dia diam. Kemudian dia menyalak lagi. Memantul lagi salakannya itu . Kemudian dia diam lagi. Matanya memerhati . Kupingnya tajam tegak berdiri. Bunyi salakan berbalik semula menghentam gegengang telinganya. Kemudian alam kembali sepi!

                       Geram dan marah. Perasaan tidak puas hati menakluk diri. Dia berlari-lari lagi. Mundar-mandir. Menyalak berkali-kali, melengking-lengking dan berdesing-desing. Melengking dan berdesing seperti besi diketuk penukul yang berdenting-denting. . Ekor terkitai-kitai . Dia benar-benar marah.

                    Harapannya salakan itu akan dapat meretakkan dan merobohkan bukit itu lalu berkecai menjadi serpihan-serpihan debu. Namun bukit itu tetap tegak di situ. Diam membatu. Salaklah semahu-mahu . Namun bukit itu sedikit pun tidak tersentuh oleh salakannya yang melengking-lengking.

                         Melihat bukit yang duduk tenang-tenang, semakin kuat dia menyalak. Memanggung kepala tinggi-tinggi supaya nanti lengkingannya melantun jauh menggegarkan bukit itu. Lidah semakin panjang terjelir dan semakin banyak pula liur yang meleleh-leleh. Dia kemudian diam sebentar. Ekornya mengitai lagi. Kupingnya nipis -runcing tajam tegak berdiri . Semakin sakit hatinya melihat bukit itu. Bergoncang pun tidak. Bergegar pun tidak .Lalu dia berlari lagi, tidak keruan dengan salakan yang semakin menjadi-jadi.

                                Sakit hatinya bukan kepalang. Di hadapan bukit dia berdiri lagi. Duduk melunjurkan kaki sambil lidah terjelir-jelir menitikkan liur. Matanya nyalang melihat bukit yang tenang bersendiri. Lalu dia berdiri. Ekornya semakin kuat mengitai. Menguak mulutnya lebar-lebar sehingga menampakkan bilah-bilah taringnya yang runcing-runcing. Berderum-deram getaran suaranya melepasi gigi-gigi taringnya. Mengumpulkan tenaga lalu dia berlari sekencang-kencangnya memanjat bukit. Mengharapkan bukit itu akan rebah dengan serangannya yang sekencang itu.

                                  Ah, terkial-kial dan terlelah-lelah pula dia terpaksa memanjat! Beban badannya sendiri tidak mampu dia pikul mendaki bukit yang cerun meninggi.

                           Bukit itu tetap diam. Tetap pegun. Melarikan diri pun tidak . Berasa resah dan gundah pun tidak . Apatah lagi rasa tergugat. Salaklah dan terkamlah. Cakarlah susuk agamnya. Dia tetap tegak terpasak kukuh di tempat duduknya.

                     Semakin dia cuba mendaki semakin berat dirinya dia terasa. Berusaha keras namun akhirnya kecundang juga. Justeru tergolek-golek dia berdebup jatuh di kaki bukit. Terasa sakit lantaran tercucuk sianggik, rumput jalang yang berceracak menikam-menikam dirinya.

                    Semakin sakit hatinya. Tergila-gila jadinya. Haru-biru dia berlari-lari ke sana dan berlari-lari ke mari dengan badannya yang calar terluka . Menyalak dan menyalak lagi dengan hati yang amat berapi-api. Lidah terjelir-jelir. Liur menitik-nitik. Mahu mendaki mencakar-cakar susuk si bukit takut pula tergolek lagi.

                       Jadilah dia anjing gila menyalak-nyalak tanpa henti. Lantaran terlalu kuatnya dia menyalak dan terlalu banyak liur yang menitik, akhirnya dia tumbang ke bumi . Jatuh tumbang mungkin pengsan atau mungkin sahaja mati akibat bodohnya diri, menyalak berapi-api bukit yang tetap tenang memerhati. Begitulah makhluk Tuhan yang bernama anjing . Dijadikan perumpamaan dalam firman-Nya. Jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah.



                   Maka ceritakanlah kisah-kisah ini supaya menjadi orang yang berfikir.

sh. umamah sy. abdullah al-edrus
30 Jun 2013
22.44

AKU SEMAKIN LESU

AKU SEMAKIN LESU

Sayang sekali aku diciptakan tidak mempunyai jantung dan nadi. Seandainya aku dianugerahkan jantung dan nadi , pasti kalian akan dapat mendengar betapa jantung dan nadiku semakin lesu berdegup dan lemah berdenyut. Setiap degupan jantung dan setiap denyutan nadi yang memberi pengertian besar bagi setiap hidupan. Aku bukan dalam kalangan hidupan barangkali meskipun aku diciptakan menjadi sumber kehidupan, maka kelesuan aku tidak kalian pedulikan.

Satu ketika, sebelum kalian singgah di sini, dunia aku sungguh meriah sekali. Aku ialah jantung dan aku ialah nadi yang diciptakan Tuhan untuk memeriahkan kehidupan di sini. Aku yang bersih jernih turun dari bukit tinggi yang dilingkungi hidupan hijau nan rimbun bukan sekadar menjadi tempat mainan fauna atau menjadi santaian flora bahkan pada setiap ruang dadaku adalah sumber rezeki. Tidak ada yang akan berasa lapar dan tidak akan ada yang kehausan. Itulah ketetapan Tuhan dan menjadi ayat-ayat dan menjadi tanda-tanda agar kalian merenung dan berfikir.

Namun , kalian menganggap aku bukan jantung dan aku bukan nadi dalam kehidupan kamu. Sememangnya aku tidak berjantung dan tidak bernadi, maka dengan sesenteng itu kalian menganggap aku ini mati. Di sini kalian singgah, lalu atas nama untuk mengangkat martabat ilmu, kalian meratah hampir seluruh kehidupanku. Kalian telanjangkan aku sehingga tidak ada hidupan yang sudi bermain di sini. Aku sudah berkeladak dan berbau hanyir. Aku tidak lagi menjadi sumber rezeki kerana aku semakin landai dan lesu. Malah secara perlahan-lahan aku sudah semakin lenyap dan bakal mati. Malah namaku bakal terpadam daripada terpahat dalam kamus ilmu yang kalian jinjing dan kalian junjung setiap hari.

Aku kerap menjadi bingung dan keliru melihat kalian menangguk ilmu di halamanku tetapi kalian tidak mengacuankannya dalam bentuk budi. Kalian tidak berlaku santun terhadap aku apatah lagi untuk menabur budi atasku justeru di sebalik kalian mahu membangunkan ilmu kalian sebenarnya telah meranapkan aku.

Lalu aku tertanya-tanya,

“Untuk apakah ilmu itu kalian tangguk dan ke manakah budi itu hendak kalian taburkan?”

Hakikatnya, aku semakin terus mengalir lesu dan semakin mati!.

sh. umamah sy. abdullah al-edrus
29hb. September 2013
00:24



Ahad, 22 September 2013

SABAR YANG CANTIK

Sabar Yang Cantik.

Hampir setiap hari dalam Ramadan aku akan berdiri di tepi jendela. Menanti andai ada kelibat yang sudi datang untuk sedekahkan barang sepiring kuih atau semangkuk bubur lambuk barangkali. Juadah berbuka puasa buat memaniskan tekak atau memperisakan rasa untuk kami adik-beradik yang sudah tidak berbapa. Namun setiap kali azan maghib berkumandang tanda waktu berbuka, kami sekadar berbuka nasi dan lauk ikan yang telah dicatukan untuk setiap seorang.

                     Namun aku tidak berputus asa. Aku terus menanti dan menanti sehingga menjelang Syawal. Aku terus menanti di tepi jendela. Menantikan pula kalau-kalau ada kelibat yang sudi membelikan aku dan adik-beradikku baju baharu untuk meraikan hari yang gembira. Namun ternyata, penantian itu berakhir dengan kehampaan. Takbir Aidil-Fitr yang beralun merdu dari corong menara masjid pada garis shafaq di kaki langit, menandakan Syawal mula berlabuh membuatkan hati aku semakin hiba.

                   Mengubati hati yang luka, aku membongkar baju lamaku. Membelek-belek baju yang dibeli pada lebaran yang lalu dan telah pun aku pakai beberapa kali.Baju itu aku seterika lalu aku gantungkan untuk dipakai menjelang pagi syawal nanti. Aku memerhati baju itu. Mataku tidak berkedip. Sekurang-kurangnya aku tidak akan telanjang pada hari yang bermakna dan masih tertutup aurat sepanjang aku tidak berayah. Aku berkata dalam diam sekadar cuba menbendung perasaanku.

                 Hari ini, apabila aku menyoroti masa silamku, pengalaman itu sangat berharga buat diri.Aku tidak pernah menyesal menjadi anak yatim. Tidak pernah jengkel kerana tidak menjamah juadah berbuka yang enak pada malam Ramadan. Tidak terkilan kerana tidak mendapat baju baharu menjelang Syawal. Justeru aku amat bersyukur kerana tidak pernah kebuluran sepanjang aku hidup dalam kemiskinan. Aku tidak pernah kelaparan barang sehari pun.

                    Justeru menjadi anak yatim banyak mengajar aku menghargai kehidupan. Menjadi anak yatim membuatkan aku menyanjung tinggi kesabaran ibuku. Ibu tunggal yang membesarkan enam orang anak-anaknya yang masih kecil dalam serba kekurangan.Ibu tunggal yang tidak pernah bersungut atas takdir yang dipikulkan ke atas bahunya. Aku banyak belajar daripada kecekalan ibu tunggal ini. Menjadi anak yatim banyak mengajar aku mengenal Tuhan. Sesungguhnya Tuhan, rahmat-Mu amat luas.Fa shabrun jamil.Maka bersabarlah yang cantik.


sh. umamah sy. abdullah al-edrus

11 Julai 2013

12:00

Ahad, 23 Jun 2013

BAHASA 'ALAM

BAHASA 'ALAM

'Alam sedang dilanda malang
Matahari sudah tidak berbayang
Awan putih bertukar kelam
Langit biru sudah tenggelam

Angin lesu dah hilang kencang
Beburung malas hendak terbang
Cahaya gemilang turut terbenam
Pepohon hijau tertunduk suram

Bumi kering sedang kehausan
Sungai mengalir dalam kelesuan
Nantikan hujan tak datang- datang
Hiduplah insan ditakluk bahang

Insan ditimpa bingung alang
Jerebu bertandang kerana diundang
Di meja bulat asyik berbincang
'Alam tetap ditimpa malang

Banyak kali sudah dibilang
Jangan dirosakkan alam terbentang
Namun insan tak faham-faham
Bukit dan hutan habis dibaham

Nyalangkan mata wahai insan
Lihatlah alam berbahasa kiasan
Andai hidup tidak seimbang
Maka hiduplah dalam tempang

Duduklah insan diam-diam
Fikirkanlah dalam-dalam
Bahasa 'alam bahasa kiasan
Itulah petanda Amaran Tuhan

sh. umamah sy. abdullah al-edrus
23hb. Jun 2013
16.30

Rabu, 19 Jun 2013

DOGMA

DOGMA
nukilan : R. Suradul A.M

Kau katakan sempit menghimpit
karena djiwamu hidup
meletup!
Kau petjahkan ruang lilipit....................

Tetapi..............tiadalah bidji merasa
tertjepit oleh kulit
Hanja ketika
bidji bersemi, berketjambah
baru merasa
dan mendesak! Merekah, petjah...................

Hanja siput, biasa senantiasa
bertahan dalam sempit kerangnja
dibawa melata dialam luas
Biarpun ia hendak bebas.....................
ta’dapat juga lepas
dari sempit kerangnja!
~Dogma~pusaka~
Toch sekali waktu ada bahaja mengantjam
ta’perlu lagi lari, bersembunji kemana-mana
tjukup membenam kedalam.......................
faham :
~Dogma~ pusaka~...................

petikan daripada Gema Tanah Air
1942-1948
dikumpulkan oleh H.B.Jasin 1948.

PANTUN SYED NAQUIB AL-ATTAS



YM Tan Sri Profesor Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas:

Sifat sejarah, menurut orang,

Ibarat pentas bermain wayang;
Cerita lampau dihurai dalang,
‘Pabila tamat segera diulang.


Jika demikian mustahil pantang,
Giliran Islam pula mendatang
Lakonan lama indah gemilang,
Di layar dunia semula terbentang

SURAT DARI IBU

SURAT DARI IBU


Pergi ke dunia luas , anakku sajang
pergi ke hidup bebas
Selama angin masih angin buritan
dan matahari pagi menjinar daun-daunan
dalam rimba dan padang hidjau

Pergi ke laut lepas anakku sajang
pergi ke alam bebas!
Selama hari belum petang
dan warna sendja belum kemerah-merahan
menutup pintu waktu lampau.

Jika bajang telah pudar
dan elang laut pulang ke sarang
angin bertiup ke benua
Tiang-tiang akan kering sendiri
dan nachoda sudah tak pedoman

Boleh engkau datang padaku !
Kembali pulang, anakku sajang
kembali ke balik malam!
Djika kapalmu telah rapat ke tepi 
Kita akan bertjerita
Tentang tjinta dan hidupmu pagi hari.

Kasim Mansur
petikan daripada Gema Tanah Air 
1942-1948
dikumpulkan oleh H.B.Jasin 1948.


Ahad, 16 Jun 2013

Malam Bertunas Cinta.....LAILALATUL QADR



Segan silu kami ketuk

pintu malam Lailatul Qadr
mohon menjadi tamu kehormat-Mu
pada malam yang unggul
malam bening yang indah
pada malam yang lebih baik
daripada malam-malam seribu bulan
malam turunnya malaikat-malaikat
malam turunnya Jibrail dengan seizin-Nya
membawa segala urusan


Duhai,
Malam lailatul Qadr
Sudah cukupkah amal kami
Sudah lengkapkah ibadat kami
Cukup kentalkah iman kami
untuk kami melangkahkan kaki 
meraih anugerah yang penuh barakah
di pentas malam yang lebih baik
daripada malam-malam seribu bulan
malam unggul lagi bening
malam Lailatul Qadr


Ya Rabb,
Pada malam yang hening-bening ini

pada malam yang teristimewa ini 
kedua-dua telapak tangan kami mangkukkan
mohon redha -Mu atas ibadat kami
mohon berakah-Mu atas amal-amal kami
mohon rahmat-Mu atas iman kami


Ya Rabb
Pada malam bertunas cinta
Kami benamkan wajah kerdil ini
sembah sujud memohon pada-Mu

ENGKAULAH MAHA PENGAMPUN

Maka ampunilah kami
pada malam yang lebih baik 
daripada malam-malam seribu bulan
malam Lailatul Qadr
Sejahteralah malam yang berkat itu
malam unggul Lailatul Qadr
sehingga terbit fajar


Duhai,
Malam-malam itu akan berlalu pergi

dan kami di sini menangis tersendu
ditinggalkan malam yang diangkat oleh-Mu 
malam yang lebih baik
daripada malam-malam seribu bulan 
Mungkinkah akan kami kembali bertemu
malam unggul bertunas cinta
Lailatul Qadr



sh.umamah al-edrus
2
5 Ramadhan 1432

25 ogos 2011.

Isnin, 22 April 2013

SETEGUH KARANG DI LAUT



Sungguh aku bangga dengan ibu ini. Seorang ibu yang buta huruf dan tentunya bermaksud tidak boleh membaca dan menulis akibat daripada hidup yang terhimpit. Namun, buta hurufnya tidak menjadikannya buta dalam mengenal erti hidup. Buta huruf yang tidak juga melemahkan jiwanya dalam meniti-niti hidup. Perginya si suami tentu sekadar membawa sekujur tubuh, dan yang ditinggalkan hanyalah zuriatnya seramai enam orang yang masih bertatih-tatih mengenal apa itu hidup dan kehidupan. Berbekalkan beberapa keping wang, itulah wang tinggalan suami yang akan membesarkan anak-anak yang kini terletak di bahu ibu yang berstatus janda ini.

Namun aku tidak pernah melihat dia menangis, mengeluh apatah lagi mempamerkan wajah kesal terhadap takdirnya. Dia sekadar diam dan berfikir jauh. Diam tatkala bekalan elektrik dipotong dan diam tatkala bekalan air dihentikan. Ketika hanya beberapa titisan air menitik-nitik dari pili air, pada hari itu juga hujan mencurah-curah turun. Tidak dapat aku bayangkan saat-saat getir yang harus dia tongkah . Ketika sudah tidak ada setitik air pun menitik, air hujan pula mencurah-curah turun dari langit dengan lebat sekali. Namun ibu ini terus diam dan berfikir jauh sambil matanya memerhati dengan lesu hujan yang turun dari langit. Diam dan berfikir tentang hujan. Hujan yang lebat turun tatkala air di pili sudah kering daripada mengalir.Diam dan berfikir tatkala manusia merampas haknya untuk hidup sebagai ibu tunggal bersama-sama anak-anaknya yang masih kecil dengan memenggal saluran paip air dan pada masa yang sama DIA mencurah-curahkan limpahan air dari langit yang terbentang luas. Di tepi jendela dia terus diam dan berfikir . Melihat butiran rahmat dari langit dia bertanya dalam diam,
“Apakah air hujan ini yang mencurah-curah turun akan dapat ditukarkan menjadi wang-wang kertas untuk menampung kehidupannya dan anak-anaknya”.

Sehingga ke saat ini, aku selalu cuba menjiwai perasaannya dan tekanan perasaannya, yang terpaksa dilalui bersendirian di bandar dan jauh daripada saudara-maranya. Tentu terlalu pahit untuk aku ungkapkan andainya aku boleh meletakkan diriku ke dalam dirinya. Janjinya pada diri, seandainya dia tidak mampu memberi pendidikan kepada anak-anaknya, dia akan menghantarnya ke rumah anak-anak yatim. Bukan dengan niat mencampakkan bebanan justeru lebih kepada memastikan anak-anaknya berpeluang mendapat ilmu. Cita-citanya hanya satu...iaitu melihat anak-anaknya berpeluang mendapat pelajaran termakbul. Sungguh, dia tidak mahu 'buta huruf' berkitar dalam kehidupan anak-anaknya.

Namun, Allah tidak menizinkan hal itu berlaku. Ibu ini tetap bersama anak-anaknya dengan rezeki yang tidak pernah putus pula. Tidak pernah sehari pun anak-anaknya kelaparan selama di bawah jagaannya meskipun hidup dalam serba kekurangan.

Kini , ibu ini selalu ketawa dan suka bergurau pula seakan-akan tidak pernah melalui saat-saat getir dalam hidupnya. Dan aku selalu terhibur tatkala berbual dengannya dan selalu memintanya memeluk aku dan mencium aku pada segenap wajahku........dan aku rasakan bagaikan dipeluk bidadari syurga apatah lagi diiringi doa daripada bibir ibu yang sangat baik ini, berhati mulia, berjiwa kental dan tulus serta bersih hatinya.

Sesungguhnya ibu ini , ibu yang berstatus janda ini...dia adalah ibuku. Dan aku tersangatlah bertuah kerana lahir dari 'rahim' ibu ini............seorang ibu yang sentiasa dalam peliharaan-Nya dan sentiasa dalam rahmat-Nya.....................dan aku sangat mencintai ibu ini...seorang ibu yang buta huruf namun tidak buta dalam mengenal erti hidup.


Ahad, 21 April 2013

HANYA DIA YANG SATU

HATI-HATI BESI

Biar bibir dipateri
Tangan diikat kawat berduri

Kaki dipasung terali
Tubuh dilibas cemeti 
Leher dijerut  tali belati 
Tersangkut nyawa separuh mati

Hatta diludahi
Air hanyir dan hangit si kembiri
Atau  cucurlah  dengan api

Sekali pun jasad diheret kuda semberani


Salailah...salailah jiwa-jiwa nurani
Di bawah bara-bara mentari
Sehingga hangus urat dan salur nadi


Tidakkan tembuk-tembus hati besi
Yang punya jati diri
Yang tunduk hati
Hanya sanya kepada Ilahi

Hujan ludah tidak kan bisa meracuni
Bara api tidak akan hangus membakari

Libasan cemeti tidak bisa menguliti
Hati dan jiwa yang dilaruti
Iman kental yang hakiki

Wahai jiwa yang tenang!

Kembali kepada Tuhanmu
dengan keadaan engkau berpuas hati 

lagi diredhai
di sisi Tuhan-Mu!

Sabtu, 20 April 2013

SUARA 'ALAM

SUARA `ALAM


Awan kelam menakluk alam
Guntur riuh berdentum-dentam
Kilau kilat silang-menyilang
Ketik petir rejam-merejam
Pepohon sakit dihempap hujan
Haiwan diam dalam persembunyian

Nyalangkan mata wahai insan
Lihatlah alam berbahasa kiasan
Awan tunduk perintah Tuhan
Guntur menggegar amaran Tuhan
Kilat dan petir peringatan Tuhan
Hujan itu rahmat Tuhan

Sebentar lagi alam kan tenang
Duduklah insan diam-diam
Fikirkanlah dalam-dalam
Bahasa alam bahasa kiasan
Sarat dengan peringatan
Itulah petanda Kebesaran Tuhan

Jumaat, 19 April 2013

Bahasa ‘alam...memang makanan aku!

Bahasa ‘alam...memang makanan aku!



Terserempak saya dengan si biawak . Terkedek-kedek merangkak lalu memanjat tebing sungai dengan gembiranya sambil menggonggong mangsa, tikus barangakali. Saya terkejut, dia juga terkejut. Saya tidak lari tetapi dia yang lari. Terjun semula ke dalam sungai tasik Laman Ilmu Dan Budi ini dengan mulutnya masih kejap menggonggong mangsanya. Melarikan diri sepertilah saya ini mahu merampas makanannya itu. Saya hanya memerhati dan sekejap itu dia menghilangkan diri ke dalam sungai lebar yang berkeladak susu. Lalu saya meneruskan langkah, berlari-lari anak di pinggir sungai yang hanyir baunya pada pagi-pagi hening begini.


Hanya beberapa langkah sahaja tiba-tiba dua ekor tupai kejar-mengejar di sisi. Saya tidak tahu jantinanya, apakah seekor betina dan seekor lagi jantan atau kedua-duanya betina atau kedua-duannya jantan. Andai seekor betina dan seekor jantan, adatlah saling ada daya tarikan semulajadi. Andai kedua-duanya daripada jantina yang sama, adatlah juga, berebut-rebut benda yang sama atau peluang yang ada sedangkan kalau mahu boleh sahaja berikhtiar mencari tanpa perlu saling berkejar dan saling berebut begini. Jadi satu keseronokan pula haiwan ini berkejar-kejar dan berebut-rebut. Saya mendiamkan diri dan sungguh kedua-dua ekor tupai ini tidak peduli saya yang ketawa memerhati.


Saya masih berdiri di laluan pejalan kaki apabila bunyi decuhan air menarik anak mata ini untuk melirik ke sungai tasik semula. Si bangau, rutin paginya , sibuk mengoyakkan paruhnya lebar-lebar lalu mengais-ngais celahan air mencari-cari ikan yang tenggelam-timbul bermain sembunyi-sembunyi. Bagaimana agaknya perasaan ikan-ikan ini dengan kehadiran bangau-bangau yang sedang lapar begitu? Tentu tidak aman untuk meliuk-lentuk dan menyelam-nyelam mencari rumput-rumpai laut atau apa sahaja yang boleh dimakan. Tidak kasihankah si bangau-bangau ini kepada ikan yang juga inginkan ketenteraman dan kebebasan.  Ah, adat 'alam, dia memang makanan aku! Pasti itu yang akan dijawab si bangau.


Di pinggir sungai saya jadi kaku seketika. Fikiran cuba menghadam bahasa 'alam. Memikirkan manusia yang juga makhluk ciptaan Tuhan. Berkejar-kejar , berebut-rebut dan rampas-merampas dalam bahasanya yang tersendiri pula. Yang lemah , yang miskin dan yang tidak ada daya menjadi mangsa kepada yang kaya , yang kuat dan yang berpengaruh. Adat 'alamkah berebut-rebut , saling bertingkah dan saling membenam. Tidak ada rasa belaskah antara sesama manusia ini ? Apakah akan ada juga yang berkata ... ‘memang makanan aku’.


Begitulah …..............di sebalik bahasa ‘alam! Lalu saya meneruskan langkah di Laman Ilmu Dan Budi ini meninggalkan biawak yang sedang lahap mengoyak bangkai tikus, si tupai-tupai yang kecoh kejar-mengejar dan si bangau-bangau yang tidak berputus asa mencari mangsanya yang hilang bersembunyi di sebalik sungai yang hanyir dan berkeruh-keladak susu.  itu.

Khamis, 11 April 2013

BAHASA ALAM

BAHASA ALAM



Awan kelam menakluk alam
Guntur riuh berdentum-dentam
Kilau kilat silang-menyilang
Ketik petir rejam-merejam
Pepohon sakit dihempap hujan
Haiwan diam dalam persembunyian

Nyalangkan mata wahai insan
Lihatlah alam berbahasa kiasan
Awan tunduk perintah Tuhan
Guntur menggegar amaran Tuhan
Kilat dan petir peringatan Tuhan
Hujan itu rahmat Tuhan

Sebentar lagi alam kan tenang
Duduklah insan diam-diam
Fikirkanlah dalam-dalam
Bahasa alam bahasa kiasan
Sarat dengan peringatan
Itulah petanda Kebesaran Tuhan

Khamis, 28 Mac 2013


Dambakan Hidup Senang?



Ada orang meminta hidup yang senang, jangan susah. Jika mendapat kesusahan, dia mengeluh ke kiri dan ke kanan. Berikan orang ini tilam tebal dan bantal. Jangan dibiarkan dia turun dari katil atau dari rumah. Suruh sahaja tidur di dalam kamar besar, sediakan makanan dan minuman, hantarkan dan hidangkan. Jangan dia diganggu. Biar dia menguap lalu tertidur. Tersesak lalu bawa sahaja ke bilik air melepaskan hajat, sesudah itu makan pula.

Adakah yang mahu dibegitukan?

Tentu dia tidak akan tahan begitu. Dia akan jemu dan dia akan tegak mencari kesusahan yang baru. Oleh sebab itu apa perlunya mengeluh lantaran susah?

....................................HAMKA..............................

Jumaat, 8 Mac 2013

MEREKA TERTANYA-TANYA

MEREKA TERTANYA-TANYA

Anak-anak ini,
setiap hari menatap kitab
jejarinya erat menggenggam pensel
melakar, melukis dan menulis
membaca, menghafal dan menghitung
menambah, menolak, membahagi dan mendarab
satu huruf menjadi bilah-bilah perkataan
satu angka menjadi beribu-ribu angka

Bilik darjah ialah rumahnya
Guru ialah penuntunnya

Anak-anak ini
mereka tertanya-tanya,
untuk apakah aku menulis?
untuk apakah aku membaca?
untuk apakah aku menghitung?

Maka jawapan apakah yang harus diberi
andai pertanyaan itu diajukan anak-anak ini?

Jumaat, 11 Januari 2013

PESANAN UNTUK BUDAK SEKOLAH

Pesanan Untuk Budak Sekolah

Wahai Budak Sekolah!
Andai galas beg sekolah
Jangan gundah berat digalas
Yang digalas ilmu meluas

Wahai Budak Sekolah!
Andai tatap buku sekolah
Usah ratap isi berbab-bab
fikirkan ilmu yang mantap-mantap

Wahai Budak Sekolah!
Jangan panjat pagar sekolah
Ummi dan Abi nanti marah
Ilmu dituntut hilang barakah

Wahai Budak Sekolah!
Andai memikul tiada berbahu
Akan menjunjung kepala luncung
Tiada berdaya mengerjakan sesuatu
andai ilmu tidak dijunjung

Wahai Budak Sekolah!
Loceng sudah gemerincing
Cukup-cukuplah main-main
sebelum cikgu naik angin

Khamis, 10 Januari 2013

RAGAM SI KATAK.......nukilan CIKGU YAHYA ISA

RAGAM SI KATAK............nukilan cikgu Yahya Isa

Riuh rendah katak menyanyi
Setelah hujan membasahi bumi
Sana sini majlis kenduri
Hutan rimba katak kelilingi

Masa kemarau di bendang Pak Aji
Duduk bertenggek mata terkebil
Lapar dahaga lidah terjelir
Mencari helah dalam berfikir

Musim menuai riuh rendah
Penghuni bendang berramah-tamah
Jauh dekat datang ziarah
Hilang risau hilang resah

Sudah ragam si katak puru
Tidak betah duduk menunggu
Lompat sana lompat situ
Kiri kanan dia sapu

Pekik sana pekik sini
Satu dunia boleh dengari
Sepasukan katak dalam perigi
Konon langit menghempap bumi

Bendang Pak Aji bukan habitat
Konon ular penuh selerat
Cari makan tersekat-sekat
Tiada habuan boleh dirembat

Jangan sampai katak kencing
Tempias terkena orang keliling
Seluruh badan bau hancing
Dekati orang semuanya pening

Bendang Pak Aji sudah berpagar
Biarlah katak berdegar di luar
Perut lapar mata berpinar
Mencari mangsa untuk disasar.

YHI
Segamat Johor
23102012

Selasa, 8 Januari 2013

AINUN JARIAH

Kita hanya boleh melukis dengan kata-kata, bukan dengan warna. Kita hanya boleh menimbulkan muzik dengan kata-kata, bukan dengan bunyi dan nadanya. Pergerakan watak-watak juga hanya menerusi kata-kata, bukan dengan gerakan fizikalnya. Maka supaya dalam karya kita terasa ada seni lukisnya, ada seni muziknya, ada seni dramanya dan ada seni sasteranya, maka pengarang atau penulis mestilah pandai mengeksploitkan bahasa mengikut sensitivitinya.......[Sastera Sebagai Seismograf Kehidupan 1991..........Shahnon Ahmad]

AINUN JARIAH

Seorang penyair atau pengarang yang benar menulis bukan kerana adanya pantun, syair, haiku, seloka, dandanggula, soneta, rubayat, atau sajak bebas dalam sastera moden. Juga bukan kerana adanya novel realitas, roman, lakon absurd dan lain-sebagainya. Seorang pengarang menulis kerana memperoleh inspirasi atau ilham, sehingga karya yang lahir bukan cuma berdasar perbandingan dengan karya yang telah ada, melainkan sebagai hasil menjenguk langit atau memperoleh limpahan pencerah batin. Dengan begitu sebuah karya menjadi asli.
...............Forum Lingkar Pena......................

Isnin, 7 Januari 2013

DARI HATI KE DALAM HATI

DARI HATI KE DALAM HATI

Kita bercakap dari hati
Apa yang datang dari hati
Akan sampai ke dalam hati

Kita tulis dengan mata pena
Apa yang datang dari mata pena
Mengalir dari akal budi
Apa yang datang dari akal budi
Akan membentuk peribadi

Selasa, 1 Januari 2013

RIHUL JANNAH YA BAGHIHA

RIHUL JANNAH YA BAGHIHA

Haruman syurga,
Wahai yang mengimpikannya!

Yang rindu akan DIA
Lantaran terhidu akan rihul Jannah
Dari alam dunia ke alam barzakh
Selera sudah seakan-akan titik

Tidak lagi dipandang ada duri
atau ada rotan
atau rimba dalam ranah kematian

Seumpama pemburu lupa akan lurah dalam
juga bukit yang tinggi menjulang
lantaran mengejar binatang buruan

Biar sesuap petang dihidupkan Tuhan
Asalkan DIA tidak luput daripada ingatan

Rihul Jannah,
Rihul Jannah ya baghiha
Haruman narwastu Jannatul Naim
menghinggapi hati-hati mukminin
menggamit diri-diri muttaqin

Bukan,
Namun bukan Jannah yang mahu dihuni
Lantaran merasai lazat besar bahkan abadi
Kelazatan KEREDAAN DIA yang diimpi-impi.

Haruman syurga,
Wahai yang mengimpikannya!

Kata-kata hikmah hasil tulisan Prof. Dr. Hamka yang saya petik daripada buku Lembaga Budi lalu saya susun jadikan bait-bait sajak dengan sedikit olahan untuk sesuaikan hasil tulisan dalam bentuk sajak. Bagaikan hendak terjelepuk tatkala menghayati kata-kata ini.