Isnin, 22 April 2013

SETEGUH KARANG DI LAUT



Sungguh aku bangga dengan ibu ini. Seorang ibu yang buta huruf dan tentunya bermaksud tidak boleh membaca dan menulis akibat daripada hidup yang terhimpit. Namun, buta hurufnya tidak menjadikannya buta dalam mengenal erti hidup. Buta huruf yang tidak juga melemahkan jiwanya dalam meniti-niti hidup. Perginya si suami tentu sekadar membawa sekujur tubuh, dan yang ditinggalkan hanyalah zuriatnya seramai enam orang yang masih bertatih-tatih mengenal apa itu hidup dan kehidupan. Berbekalkan beberapa keping wang, itulah wang tinggalan suami yang akan membesarkan anak-anak yang kini terletak di bahu ibu yang berstatus janda ini.

Namun aku tidak pernah melihat dia menangis, mengeluh apatah lagi mempamerkan wajah kesal terhadap takdirnya. Dia sekadar diam dan berfikir jauh. Diam tatkala bekalan elektrik dipotong dan diam tatkala bekalan air dihentikan. Ketika hanya beberapa titisan air menitik-nitik dari pili air, pada hari itu juga hujan mencurah-curah turun. Tidak dapat aku bayangkan saat-saat getir yang harus dia tongkah . Ketika sudah tidak ada setitik air pun menitik, air hujan pula mencurah-curah turun dari langit dengan lebat sekali. Namun ibu ini terus diam dan berfikir jauh sambil matanya memerhati dengan lesu hujan yang turun dari langit. Diam dan berfikir tentang hujan. Hujan yang lebat turun tatkala air di pili sudah kering daripada mengalir.Diam dan berfikir tatkala manusia merampas haknya untuk hidup sebagai ibu tunggal bersama-sama anak-anaknya yang masih kecil dengan memenggal saluran paip air dan pada masa yang sama DIA mencurah-curahkan limpahan air dari langit yang terbentang luas. Di tepi jendela dia terus diam dan berfikir . Melihat butiran rahmat dari langit dia bertanya dalam diam,
“Apakah air hujan ini yang mencurah-curah turun akan dapat ditukarkan menjadi wang-wang kertas untuk menampung kehidupannya dan anak-anaknya”.

Sehingga ke saat ini, aku selalu cuba menjiwai perasaannya dan tekanan perasaannya, yang terpaksa dilalui bersendirian di bandar dan jauh daripada saudara-maranya. Tentu terlalu pahit untuk aku ungkapkan andainya aku boleh meletakkan diriku ke dalam dirinya. Janjinya pada diri, seandainya dia tidak mampu memberi pendidikan kepada anak-anaknya, dia akan menghantarnya ke rumah anak-anak yatim. Bukan dengan niat mencampakkan bebanan justeru lebih kepada memastikan anak-anaknya berpeluang mendapat ilmu. Cita-citanya hanya satu...iaitu melihat anak-anaknya berpeluang mendapat pelajaran termakbul. Sungguh, dia tidak mahu 'buta huruf' berkitar dalam kehidupan anak-anaknya.

Namun, Allah tidak menizinkan hal itu berlaku. Ibu ini tetap bersama anak-anaknya dengan rezeki yang tidak pernah putus pula. Tidak pernah sehari pun anak-anaknya kelaparan selama di bawah jagaannya meskipun hidup dalam serba kekurangan.

Kini , ibu ini selalu ketawa dan suka bergurau pula seakan-akan tidak pernah melalui saat-saat getir dalam hidupnya. Dan aku selalu terhibur tatkala berbual dengannya dan selalu memintanya memeluk aku dan mencium aku pada segenap wajahku........dan aku rasakan bagaikan dipeluk bidadari syurga apatah lagi diiringi doa daripada bibir ibu yang sangat baik ini, berhati mulia, berjiwa kental dan tulus serta bersih hatinya.

Sesungguhnya ibu ini , ibu yang berstatus janda ini...dia adalah ibuku. Dan aku tersangatlah bertuah kerana lahir dari 'rahim' ibu ini............seorang ibu yang sentiasa dalam peliharaan-Nya dan sentiasa dalam rahmat-Nya.....................dan aku sangat mencintai ibu ini...seorang ibu yang buta huruf namun tidak buta dalam mengenal erti hidup.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan