Rabu, 12 Februari 2014

AL-ISRA’



AL-ISRA’
BERJALAN MALAM
Surat ke 17 , 111 ayat
diturunkan di Mekah

Surat yang ke 17 ini, bernama al-Isra’ yang ertinya ‘berjalan malam’. Diambil yang demikian itu kerana ayat yang pertama menerangkan Allah memperjalankan hamba-Nya iaitu Muhammad sallah allahu alayhi wassalam pada malam hari dari Masjidil Haram di Mekah menuju Masjidil Aqsa. Sedangkan jarak di antara kedua-duanya atau jarak di antara Tanah Hejaz dengan Tanah Palestin adalah jauh. Al-Aqsha ertinya jauh.
Di samping al-Isra’, surat ini juga dinamakan surat Bani Israil kerana dari ayat 2 hingga ayat 8 ada diterangkan suka duka yang ditempuh oleh Bani Israil sejak mereka di bawah pimpinan dan bimbingan Nabi Musa membebaskan diri daripada penindasan Fir’aun di Mesir, sampai naik bintangnya dan sampai pula mereka jatuh, sampai dua kali, kerana ajaran Nabi Musa itu tidak mereka pegang lagi.

Sesudah menerangkan sepintas lalu, tetapi secara mendalam tentang sebab-sebab kejatuhan Bani Israil itu, untuk menjadi pengajaran, baik bagi keturunan Bani Israil yang hidup di Madinah ketika ayat diturunkan, atau bagi umat Muhammad buat segala zaman untuk dijadikan kaca perbandingan, maka berturutlah datang ayat-ayat memberikan tuntunan tentang aqidah, pegangan kepercayaan dan budi pekerti yang harus ditegakkan supaya hidup manusia selamat, baik dalam hubungannya dengan Allah atau dalam hubungannya sesama manusia.

Dari ayat 22 hingga ayat 38 , kita diberi tuntunan budi pekerti yang akan dijadikan pegangan hidup itu, sejak dari tauhid meng-Esakan Allah sehingga sikap hormat-khidmat kepada ibu bapa , sampai juga kepada sikap hidup sesama manusia.

Dari ayat 61 sampai 65, sebagaimana terdapat pada beberapa surat yang lain, dilukiskanlah permulaan pertentangan antara manusia pertama Adam dan Iblis, hingga Adam dapat diperdayakan sehingga Adam, Hawa dan iblis disuruh keluar dari dalam syurga. Dan setelah keluar dari dalam syurga, Adam dan keturunannya disuruh diam di muka bumi sampai kepada satu masa yang ditentukan. Dan Tuhan pun menjanjikan bahawa selama manusia itu masih memegang teguh petunjuk-petunjuk yang didatangkan oleh Tuhan, manusia itu akan selamat. Kemudian itu diterangkan pula bahawa iblis seketika akan dikeluarkan itu, meminta kepada Allah agar diberi kesempatan memperdayakan manusia sehingga ajaran setanlah yang berpengaruh dan manusia itu jadi tersesat.

Diterangkan di sana bahawa Tuhan memberikan kesempatan itu kepada iblis dengan peringatan bahawa ‘IBAADI’, ertinya hambaKu yang sejati yang selalu menyedari bahawa Akulah Tuhan, tidaklah dapat engkau perdayakan, tidaklah dapat engkau kuasai (ayat65)

Setelah membuat umpama dari hal kehidupan manusia dengan bahtera kapal yang belayar mengharung lautan besar, maka pada ayat 70 disedarkanlah manusia oleh Tuhan bahawa manusia itu diberikan kemuliaan di dunia, ditanggung hidupnya di darat dan di laut, dijamin rezekinya dan dilebihkan dia daripada makhluk yang lain.

Sesudah itu diteruskanlah ayat-ayat tuntunan bagi Nabi Muhammad sendiri bagaimana caranya baginda memperkuat peribadinya menyampaikan dakwah, supaya dia tetap hati, jalan yang lurus, jangan peduli akan pujukan mereka meskipun antara itu dia akan diusir dari negerinya (kemudian ternyata beliau berhijrah ke Madinah). Disuruh dia selalu beribadat, tegakkan sembahyang, lakukan solat tahajjud kerana dengan demikian martabat beliau akan lebih ditinggikan, masuk dengan benar, keluar pun dengan benar dan kekuasaan akan langsung diterima Allah. Dan al-Quran adalah ubat. Semuanya itu adalah teladan bagi ummatnya dalam terus menegakkan da’wah bagi agama ini. Selama dunia masih terkembang dan manusia masih mendiami bumi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan