Sabtu, 11 Oktober 2014

ANJING ITU- usman awang


Anjing itu kurus kelabu


Lidah terjelir nafas termengah-mengah

Menjaga istana tuannya yang gemuk

Patuh setia, menerima dan menyerah



Anjing itu, sering menyalak-nyalak selalunya mendayu-dayu

Bukan kerana ada musuh

Tetapi minta makanan, perutnya lapar

Tuannya hanya mencampakkan cebis-cebis roti kering.



Anjing itu, tidak dibebaskan

Lehernya dirantai, punca digenggaman tuannya.



Anjing itu, bila perlu, diperah

Bagi menjaga keselamatan tuannya

Menjadi binatang lindungan desakan luar

Dan himpitan dalam



Begitu rupa nasib, anjing itu

Kurus kering, dalam semuanya tak cukupan

Hanya menanti rahim tuannya

Cebis-cebis roti kering

Dan tulang-tulang tak berdaging

Itulah jadi makanan, dan hidup jadi

Alat kesenangan manusia jahat memperhambakannya.



Siapa anjing

Hanya binatang setia.



3 Jun 1950, Utusan Zaman

p/s: dari buku Sasterawan Negara Usman Awang, tulisan Zurinah Hassan, “Mengikut Usman, para ketujuh sajak ini telah dipotong oleh penyunting akhbar kerana dianggap “subversif”. Penyiaran sajak ini menyebabkan pengarang Utusan Zaman, Saudara Zabha disoal oleh pihak polis.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan