Selasa, 2 Disember 2014

CIKGU KENCING BERDIRI


Anak-anak menonton tv
mengetik twitter dan juga fb
menatap akhbar berhari-hari
pelbagai gaya pelbagai aksi
melihat pemimpin bersemangat api
melontarkan kata bertubi-tubi
setinggi gunung menabur janji
menunjuk jari mengangkat diri
akulah pemimpin berjiwa jati


pelakon berlakon di skrin tv
pelbagai watak hanyalah aksi

lakonannya hebat di layar sendiri
hal peribadi lebih sensasi

penyanyi emas penyanyi besi
tumpang sekaki menampilkan diri
biarpun gigi tinggal gusi
berebut menjadi bintang hati


pelawak melawak mencuit hati
lawak bodoh mengeringkan gusi
banyak merapu daripada berinti
semua berebut menjadi selebriti
pelbagai ragam mencari populariti

yang hebat berlawak, belakon dan menyanyi
hadiahnya lumayan tidak terperi
kemudian disanjung tinggi-tinggi
dalam majlis meriah sekali
memperagakan juga pakaian seksi


anak-anak pun berkerut dahi
mata terteleng cuba memahami
apakah ilmu yang boleh dipelajari
apakah tingkah yang boleh diteladani
melihat ragam pelbagai aksi
terpampang di mata setiap hari

jangan lupa setiap diri
jika cikgu kencing berdiri
anak muridnya nanti kencing berlari

sh.umamah sy. abdullah al-edrus
25hb. September 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan