TAMAN-TAMAN PUSPA
Pagi mulai berdandan.Matahari dari punggung bumi mulai mengangkat alis matanya, sedikit demi sedikit, memboloskan pandangannya ke setiap penjuru alam. Lantas bumi, bukit-bukau, gunung-ganang dan pepohon hijau bangkit dari tidur yang culas. Daun-daun membuka wajah, membuka mulut lantas menghisap embun dari puting alam. Sementara puspa-puspa membelek muka, menata rias dengan kepelbagaian rona, tersengih-sengih lalu menghamburkan haruman dengan harapan bertemu jodoh untuk meneruskan zuriatnya.
Di celah-celah pepohon dan di gua-gua gunung, unggas dan haiwan melata yang malas menguap-nguap, sambil menahan silau dhuha yang sangat mengganggu ; di dera matahari agar bangkit dari tidur yang lena supaya keluar mencari rezeki. Kerana rezeki yang telah disediakan Tuhan itu tidak akan datang menggolek melainkan mesti berusaha mencari dan berusaha mendapatkannya. Namun sinaran mentari tidak sekuat dan sehebat puspa dalam menggerakkan diri. Haruman puspa, yang sudah cantik berdandan, merias diri dengan warna-warna pesona membuatkan unggas dan haiwan melata segera mencelikkan mata, menghidu haruman semerbak lalu menceceh dengan riuhnya, menari-nari bersama angin penjodoh sambil mengalunkan gurindam rindu. Rindunya bagaikan sepekan tidak bertamu sedangkan baru semalam tidak bertemu.
sh. umamah sy. abdullah al-edrus
7 Julai 2015
Kuala Lumpur.
Memaparkan catatan dengan label Renungan (puisi prosa). Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Renungan (puisi prosa). Papar semua catatan
Khamis, 25 Februari 2016
Khamis, 30 Julai 2015
TIKUS
Nak termuntah menonton watak tikus dalam cerita Teenage Mutant Ninja Turtle. Bukan itu sahaja malah seperti terbau-bau busuknya watak tikus itu keluar dari skrin tv. Dengan gambaran lendir dan air liur meleleh dari mulut dan hidungnya yang muncung… loya tekak menggambarkannya. Tikus tua berjanggut, bertaring, berekor panjang dan hodoh ini rupa-rupanya ‘tok guru’ atau ‘sensei’ kepada 4 ekor/orang ‘turtle’. Dalam cerita Kungfu Panda, watak beruang yang gemuk dan lembik, tikus tua juga menjadi tok gurunya. Tikus diangkat menjadi satria. Sementara dalam cerita Tom And Jerry, si tikus bernama Jerry memperbodohkan anjing, kucing dan majikannya. Mickey Mouse berwatak lincah , dilihat sebagai tikus cerdik malah disanjung-sanjung pula.Menjadi idola kepada kanak-kanak sehingga anak-anak begitu bahagia memiliki Mickey Mouse yang dijelmakan dalam bentuk boneka dan lukisan sedangkan hakikatnya tikus itu hidup di lorong-lorong kotor dan berenang-renang di dalam longkang yang busuk. Dalam cerita Ratatouille, seekor tikus ini dikatakan tidak suka memakan makanan yang kotor malah dapat menyediakan makanan yang enak dan menjadi tukang masak yang hebat. Tikus diangkat menjadi chef.
Begitulah sesetengah manusia cuba mengangkat martabat tikus, menjadikannya satria, cerdik, pembersih, chef dan haiwan yang hebat. Namun Tuhan tidak menjadikan tikus untuk menjadi satria, cerdik, pembersih dan hebat. sebaliknya menjadikan tikus antara haiwan yang paling kotor. Sementara tikus-tikus putih yang dijadikan Tuhan telah dipelihara untuk tujuan kajian perubatan… mencari panawar bagi manusia sebab tikus dikatakan mempunyai sistem badan yang sama dengan manusia dan membunuhnya ketika melakukan ujian makmal tidak dianggap zalim. Tikus Belanda pula dijadikan binatang penghibur apabila dijadikan sirkus untuk anak-anak. Dan Tuhan jadikan haiwan kotor ini hidup untuk mengajar manusia akan erti menjaga kebersihan sebab manusia yang pengotor akan menjemput tikus untuk berkongsi rumah dan persekitarannya. Menjemput tikus bererti menjemput penyakit dan penyakit ‘kencing tikus’ dikatakan boleh membunuh. Jika tikus diangkat martabatnya, menjadi satria maka tentu dia akan membunuh para pengkaji perubatan kerana membunuh tikus-tikus putih. Kanak-kanak marah tikus dibunuh kerana telah terbit rasa sayang terhadap tikus idola dan tikus-tikus mahukan makanan yang bersih dan enak-enak, maka apakah yang akan terjadi kepada manusia itu sendiri?
Begitulah bagi sesetengah manusia, mahu mengangkat martabat binatang sementara kebanyakan manusia sudah jatuh martabatnya… pengotor, pengecut, pencuri, ganas, dengki, saling menyalahi dan lagi dan lagi.
,
sh. umamah sy. abdullah al-edrus
Kuala Lumpur.
27 Julai 2015
AMSAL DARI DURIAN
Durian… siapakah yang tidak kenal durian? Badannya berduri-duri, sangat tajam tapi isinya yang kuning dan lembik serta baunya yang semerbak menjadikan dia buah yang sangat digemari. Banyak peminatnya sehingga dia diangkat sebagai Raja Buah, menjadikannya buah sangat digeruni oleh buah-buah yang lain. Yang meminatinya, begitu tergila-gila menikmati sehingga menjilat-jilat jari, biar pun memakannya berlebih-lebih boleh membuatkan badan si pemakan berpeluh-peluh siang dan malam kerana durian memang buahnya ‘panas’. Kalau sudah tergila-gila, panas pun sudah tidak peduli lagi. Akan tetapi aneh ya! Kendati pun banyak yang tergila-gila sehingga menjilat-jilat jari, ada juga yang hendak termuntah hanya dengan menghidunya. Kalau dijamah barangkali boleh sakit jiwa agaknya, lalu durian menjadi buah yang dibenci pula oleh yang tidak sukakannya. Sehingga kerap kali ‘durian’ yang banyak penggemar ini dilarang pula dibawa ke tempat-tempat tertentu. Siap diletakkan gambar durian yang dipalang dengan tanda merah sebagai tanda amaran. Owh, jadi bahaya pula durian ini! Bahayanya bukan pada durinya yang tajam tetapi bahayanya ialah pada baunya yang mengancam.
Jadi kalau makan durian, jangan hanya tahu makan tetapi fikirkan amsal yang boleh diangkat daripadanya kerana tidak ada perumpamaan semesta yang terpisah daripada manusia.
“Dan misal-misal perbandingan yang demikian itu, Kami kemukakan kepada umat manusia, dan hanya orang yang berilmu yang dapat memahaminya.”Al-Ankabut: 43.
Khamis, 27 November 2014
MARKISA
Keharuan melanda. Melihat tanda-tanda. Itulah ayat-ayat. Pada setiap penciptaan yang tercipta. Dari benih, terbit pucuk. Pucuk-pucuk melebar menjadi dedaun nan hijau. Di celahan dedaun memutik bunga-bungaan. Putik bunga terkelopak mempersembahkan keindahan. Warna-warna indah memperhalus perasaan. Merangka bentuk yang beragam-ragam. Menarik perhatian sang hidupan. Bunga mekar kembangnya menawan. Lalu layu namun tidak menghampakan. Melayutkan buah di tangkaian. Untuk dinikmati setiap haiwan dan insan. Alangkah indah ciptaan Tuhan. Itulah tanda itulah ayat. Supaya manusia berfikir dan terus memikirkan. Masihkah mahu sujud atau masihkah mahu menentang?
sharifah umamah al-edrus
27 hb. November 2014

Khamis, 13 Mac 2014
TAKUT DAN HARAP
Takut dan Harap
Pada setiap lintasan kilat, ketikan petir dan deruman guruh yang menakutkan, ada rahmat Tuhan yang melimpah ruah. Limpahan hujan yang menghidupkan bumi selain memberi nafas kepada jaluran sungai agar jangan berhenti mengalir. Berita gembira buat hamba-hamba-Nya yang ketandusan dan menanti dengan penuh harapan. Jika yang didatangkan itu adalah petaka besar, meranapkan kehidupan, menjadikan manusia termangu-mangu dalam tangisan, datangnya musibah itu juga adalah atas titah Tuhan, sebagai peringatan bahawa alam ini adalah dalam genggaman-Nya. Setiap helaan nafas yang turun naik, setiap detik waktu yang meniti-niti, daripada penciptaan sebesar debu kepada penciptaan sebesar alam raya, semuanya adalah di bawah takluk-Nya, di bawah naungan-Nya, di bawah maunah-Nya.
Bumi ini adalah ranah ujian. Pada setiap ujian itu akan terserlah setiap tindak-tanduk pelakunya dan akan terserlah pada setiap tutur bicaranya, apakah menurut jalan yang benar atau menyimpang tersasar ke jalan yang salah. Pada dada bumi, dada langit dan dada lautan dan pada setiap perincian hidup yang berwarna-warni adalah ayat-ayat. Ayat-ayat yang menuntun manusia kepada-Nya dan hanya tertuntun kepada mereka yang mahu berfikir. Di sana ada syurga, di sana juga ada neraka. Kita hanya diberi dua pilihan, tidak tiga atau selebihnya.
Berserah dirilah kepada-Nya, hanya kepada-Nya...pada setiap detik waktu…. ketika susah juga ketika senang, ketika dalam payah atau ketika lapang, ketika menangis atau ketika gembira. Pastinya ada rahmat yang tersirat yang tidak terjangkau oleh akal manusia yang sejengkal. Maka berdoalah sebagaimana Nabi Ya’akob berdoa ketika dalam resah,
“Jika demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, mudah-mudahan Allah mengembalikan mereka semua kepadaku. Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
………...Yusuf : 83………………...
Selasa, 8 Oktober 2013
SURAT UNTUK ADAM
Surat untuk Adam.
Apakah kata-kata yang paling baik untuk diungkapkan kepada kalian wahai Adam? Apabila kalian secara jujur dan beradab, dengan santun dan cara yang terhormat memetik sekuntum bunga daripada pemiliknya, lalu dengan rasa tanggungjawab menghulur tangan menggenggam erat dan melafaz ijab dan qabul. Suara gementar , tubuh terketar dan peluh bermanik-manik, lalu dengan lafaz ijab dan qabul, kalian wahai Adam telah mengangkat darjat seorang perempuan daripada status seorang gadis kepada status seorang isteri. Kemudian perempuan itu, yang telah kalian petik dengan adab dan santun telah dengan tulus hati merelakan dan mengikhlaskan diri sebagai ladang untuk disemai benih sehingga lahirnya zuriat yang berdarjat, bakal mewarisi keturunan mulia zaman berzaman. Ah, lafaz ijab dan qabul itu sesungguhnya adalah satu panahan dan libasan api kepada iblis laknatulLah!
Tahukah kalian wahai Adam? Iblis itu terus berguling-guling kepanasan lantaran kecewa dan kecundang apabila daripada kalian wahai Adam, pendukung kalimah tayibbah membisikkan ‘La iLaha ill AlLah, Muhammad Rasulullah’, menabuh gegendang telinga tetamu baharu sebaik sahaja terdampar keluar daripada seorang rahim seorang perempuan yang telah kalian petik dengan santun dan beradab.Melahirkan zuriat yang diangkat Tuhan sebagai khalifah sehingga menimbulkan rasa dengki dan sakit hati iblis laknatulLah. Laknat Tuhan terhadapnya telah menyebabkan dia berikrar akan menggelincirkankan kita dan zuriat kita daripada landasan sirat`al mustaqim.
Wahai Adam! Ini bererti perjuangan kita untuk menikmati narwastu Jannatul Naim bersama-sama tidak akan akan berakhir selama nadi masih terus berdenyut. Kita mesti saling mengikat dan saling memperingat supaya tidak tergelincir seperti mana datuk kita Adam rahimahulLah pernah tergelincir atas kealpaannya. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Pengampun. Namun kita jangan sekali-kali membenarkan iblis laknatulLah terus menyelusup di celah-celah setiap helaan nafas bahkan pada setiap titik lubang rongga sebesar zarah sekali pun pada tubuh kita.
Ayuh Adam! Kita bersama-sama meniti quranal arabia pada setiap detik dan kita larutkan dalam setiap diri anak-anak kita Adam. Kita hayati bersama-sama ayat-ayat yang merentas alam . Ingatlah Adam! Di sana sudah menanti jannatin a’liyah, ‘ainun jariyah, sururum marfu’ah. Piala-piala minuman sudah sedia terhidang dengan bantal-bantal yang siap teratur dan hamparan-hamparan yang terbentang.
Ayuh Adam! Kita bina rumah yang abadi di sana. Andainya isteri Fir`aun, Asiah meminta sebuah rumah di syurga lantaran kesabarannya dizalimi suaminya yang kufur dan angkuh, maka alangkah indahnya andainya isterimu Adam, meminta sebuah rumah di syurga lantaran kamu memimpinnya merendah diri lalu sujud meyembah kepada ke Agungan-Nya.
Terima kasih wahai Adam! Jiwa santun dan beradab tuan menjadikan kami perempuan yang mempunya harga diri. Lafaz ijab dan qabul kalian Adam telah mengangkat darjat kami sebagai bidadari. Di sana syurga sudah menanti. Sesungguhnya Tuhan tidak pernah memungkiri janji!
sh. umamah sy. abdullah al-edrus
Kuala Lumpur.
25 hb. Ogos 2013
Ahad, 29 September 2013
ANJING SALAK BUKIT
ANJING SALAK BUKIT
Berlari-lari dia, mundar-mandir. Berlari-lari di kaki bukit yang sedang duduk diam-diam. Lidah terjelir-jelir dengan liur yang menitik-nitik. Kemudian dia berdiri menghadap bukit. Ekor terkitai-kitai. Kepala menyundak langit. Lalu dia menyalak. Memantul-mantul salakannya. Kemudian dia diam. Kemudian dia menyalak lagi. Memantul lagi salakannya itu . Kemudian dia diam lagi. Matanya memerhati . Kupingnya tajam tegak berdiri. Bunyi salakan berbalik semula menghentam gegengang telinganya. Kemudian alam kembali sepi!
Geram dan marah. Perasaan tidak puas hati menakluk diri. Dia berlari-lari lagi. Mundar-mandir. Menyalak berkali-kali, melengking-lengking dan berdesing-desing. Melengking dan berdesing seperti besi diketuk penukul yang berdenting-denting. . Ekor terkitai-kitai . Dia benar-benar marah.
Harapannya salakan itu akan dapat meretakkan dan merobohkan bukit itu lalu berkecai menjadi serpihan-serpihan debu. Namun bukit itu tetap tegak di situ. Diam membatu. Salaklah semahu-mahu . Namun bukit itu sedikit pun tidak tersentuh oleh salakannya yang melengking-lengking.
Melihat bukit yang duduk tenang-tenang, semakin kuat dia menyalak. Memanggung kepala tinggi-tinggi supaya nanti lengkingannya melantun jauh menggegarkan bukit itu. Lidah semakin panjang terjelir dan semakin banyak pula liur yang meleleh-leleh. Dia kemudian diam sebentar. Ekornya mengitai lagi. Kupingnya nipis -runcing tajam tegak berdiri . Semakin sakit hatinya melihat bukit itu. Bergoncang pun tidak. Bergegar pun tidak .Lalu dia berlari lagi, tidak keruan dengan salakan yang semakin menjadi-jadi.
Sakit hatinya bukan kepalang. Di hadapan bukit dia berdiri lagi. Duduk melunjurkan kaki sambil lidah terjelir-jelir menitikkan liur. Matanya nyalang melihat bukit yang tenang bersendiri. Lalu dia berdiri. Ekornya semakin kuat mengitai. Menguak mulutnya lebar-lebar sehingga menampakkan bilah-bilah taringnya yang runcing-runcing. Berderum-deram getaran suaranya melepasi gigi-gigi taringnya. Mengumpulkan tenaga lalu dia berlari sekencang-kencangnya memanjat bukit. Mengharapkan bukit itu akan rebah dengan serangannya yang sekencang itu.
Ah, terkial-kial dan terlelah-lelah pula dia terpaksa memanjat! Beban badannya sendiri tidak mampu dia pikul mendaki bukit yang cerun meninggi.
Bukit itu tetap diam. Tetap pegun. Melarikan diri pun tidak . Berasa resah dan gundah pun tidak . Apatah lagi rasa tergugat. Salaklah dan terkamlah. Cakarlah susuk agamnya. Dia tetap tegak terpasak kukuh di tempat duduknya.
Semakin dia cuba mendaki semakin berat dirinya dia terasa. Berusaha keras namun akhirnya kecundang juga. Justeru tergolek-golek dia berdebup jatuh di kaki bukit. Terasa sakit lantaran tercucuk sianggik, rumput jalang yang berceracak menikam-menikam dirinya.
Semakin sakit hatinya. Tergila-gila jadinya. Haru-biru dia berlari-lari ke sana dan berlari-lari ke mari dengan badannya yang calar terluka . Menyalak dan menyalak lagi dengan hati yang amat berapi-api. Lidah terjelir-jelir. Liur menitik-nitik. Mahu mendaki mencakar-cakar susuk si bukit takut pula tergolek lagi.
Jadilah dia anjing gila menyalak-nyalak tanpa henti. Lantaran terlalu kuatnya dia menyalak dan terlalu banyak liur yang menitik, akhirnya dia tumbang ke bumi . Jatuh tumbang mungkin pengsan atau mungkin sahaja mati akibat bodohnya diri, menyalak berapi-api bukit yang tetap tenang memerhati. Begitulah makhluk Tuhan yang bernama anjing . Dijadikan perumpamaan dalam firman-Nya. Jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah.
Maka ceritakanlah kisah-kisah ini supaya menjadi orang yang berfikir.
sh. umamah sy. abdullah al-edrus
30 Jun 2013
22.44
AKU SEMAKIN LESU
AKU SEMAKIN LESU
Sayang sekali aku diciptakan tidak mempunyai jantung dan nadi. Seandainya aku dianugerahkan jantung dan nadi , pasti kalian akan dapat mendengar betapa jantung dan nadiku semakin lesu berdegup dan lemah berdenyut. Setiap degupan jantung dan setiap denyutan nadi yang memberi pengertian besar bagi setiap hidupan. Aku bukan dalam kalangan hidupan barangkali meskipun aku diciptakan menjadi sumber kehidupan, maka kelesuan aku tidak kalian pedulikan.
Satu ketika, sebelum kalian singgah di sini, dunia aku sungguh meriah sekali. Aku ialah jantung dan aku ialah nadi yang diciptakan Tuhan untuk memeriahkan kehidupan di sini. Aku yang bersih jernih turun dari bukit tinggi yang dilingkungi hidupan hijau nan rimbun bukan sekadar menjadi tempat mainan fauna atau menjadi santaian flora bahkan pada setiap ruang dadaku adalah sumber rezeki. Tidak ada yang akan berasa lapar dan tidak akan ada yang kehausan. Itulah ketetapan Tuhan dan menjadi ayat-ayat dan menjadi tanda-tanda agar kalian merenung dan berfikir.
Namun , kalian menganggap aku bukan jantung dan aku bukan nadi dalam kehidupan kamu. Sememangnya aku tidak berjantung dan tidak bernadi, maka dengan sesenteng itu kalian menganggap aku ini mati. Di sini kalian singgah, lalu atas nama untuk mengangkat martabat ilmu, kalian meratah hampir seluruh kehidupanku. Kalian telanjangkan aku sehingga tidak ada hidupan yang sudi bermain di sini. Aku sudah berkeladak dan berbau hanyir. Aku tidak lagi menjadi sumber rezeki kerana aku semakin landai dan lesu. Malah secara perlahan-lahan aku sudah semakin lenyap dan bakal mati. Malah namaku bakal terpadam daripada terpahat dalam kamus ilmu yang kalian jinjing dan kalian junjung setiap hari.
Aku kerap menjadi bingung dan keliru melihat kalian menangguk ilmu di halamanku tetapi kalian tidak mengacuankannya dalam bentuk budi. Kalian tidak berlaku santun terhadap aku apatah lagi untuk menabur budi atasku justeru di sebalik kalian mahu membangunkan ilmu kalian sebenarnya telah meranapkan aku.
Lalu aku tertanya-tanya,
“Untuk apakah ilmu itu kalian tangguk dan ke manakah budi itu hendak kalian taburkan?”
Hakikatnya, aku semakin terus mengalir lesu dan semakin mati!.
sh. umamah sy. abdullah al-edrus
29hb. September 2013
00:24
Sayang sekali aku diciptakan tidak mempunyai jantung dan nadi. Seandainya aku dianugerahkan jantung dan nadi , pasti kalian akan dapat mendengar betapa jantung dan nadiku semakin lesu berdegup dan lemah berdenyut. Setiap degupan jantung dan setiap denyutan nadi yang memberi pengertian besar bagi setiap hidupan. Aku bukan dalam kalangan hidupan barangkali meskipun aku diciptakan menjadi sumber kehidupan, maka kelesuan aku tidak kalian pedulikan.
Satu ketika, sebelum kalian singgah di sini, dunia aku sungguh meriah sekali. Aku ialah jantung dan aku ialah nadi yang diciptakan Tuhan untuk memeriahkan kehidupan di sini. Aku yang bersih jernih turun dari bukit tinggi yang dilingkungi hidupan hijau nan rimbun bukan sekadar menjadi tempat mainan fauna atau menjadi santaian flora bahkan pada setiap ruang dadaku adalah sumber rezeki. Tidak ada yang akan berasa lapar dan tidak akan ada yang kehausan. Itulah ketetapan Tuhan dan menjadi ayat-ayat dan menjadi tanda-tanda agar kalian merenung dan berfikir.
Namun , kalian menganggap aku bukan jantung dan aku bukan nadi dalam kehidupan kamu. Sememangnya aku tidak berjantung dan tidak bernadi, maka dengan sesenteng itu kalian menganggap aku ini mati. Di sini kalian singgah, lalu atas nama untuk mengangkat martabat ilmu, kalian meratah hampir seluruh kehidupanku. Kalian telanjangkan aku sehingga tidak ada hidupan yang sudi bermain di sini. Aku sudah berkeladak dan berbau hanyir. Aku tidak lagi menjadi sumber rezeki kerana aku semakin landai dan lesu. Malah secara perlahan-lahan aku sudah semakin lenyap dan bakal mati. Malah namaku bakal terpadam daripada terpahat dalam kamus ilmu yang kalian jinjing dan kalian junjung setiap hari.
Aku kerap menjadi bingung dan keliru melihat kalian menangguk ilmu di halamanku tetapi kalian tidak mengacuankannya dalam bentuk budi. Kalian tidak berlaku santun terhadap aku apatah lagi untuk menabur budi atasku justeru di sebalik kalian mahu membangunkan ilmu kalian sebenarnya telah meranapkan aku.
Lalu aku tertanya-tanya,
“Untuk apakah ilmu itu kalian tangguk dan ke manakah budi itu hendak kalian taburkan?”
Hakikatnya, aku semakin terus mengalir lesu dan semakin mati!.
sh. umamah sy. abdullah al-edrus
29hb. September 2013
00:24
Ahad, 22 September 2013
SABAR YANG CANTIK
Sabar Yang Cantik.
Hampir setiap hari dalam Ramadan aku akan berdiri di tepi jendela. Menanti andai ada kelibat yang sudi datang untuk sedekahkan barang sepiring kuih atau semangkuk bubur lambuk barangkali. Juadah berbuka puasa buat memaniskan tekak atau memperisakan rasa untuk kami adik-beradik yang sudah tidak berbapa. Namun setiap kali azan maghib berkumandang tanda waktu berbuka, kami sekadar berbuka nasi dan lauk ikan yang telah dicatukan untuk setiap seorang.
Namun aku tidak berputus asa. Aku terus menanti dan menanti sehingga menjelang Syawal. Aku terus menanti di tepi jendela. Menantikan pula kalau-kalau ada kelibat yang sudi membelikan aku dan adik-beradikku baju baharu untuk meraikan hari yang gembira. Namun ternyata, penantian itu berakhir dengan kehampaan. Takbir Aidil-Fitr yang beralun merdu dari corong menara masjid pada garis shafaq di kaki langit, menandakan Syawal mula berlabuh membuatkan hati aku semakin hiba.
Mengubati hati yang luka, aku membongkar baju lamaku. Membelek-belek baju yang dibeli pada lebaran yang lalu dan telah pun aku pakai beberapa kali.Baju itu aku seterika lalu aku gantungkan untuk dipakai menjelang pagi syawal nanti. Aku memerhati baju itu. Mataku tidak berkedip. Sekurang-kurangnya aku tidak akan telanjang pada hari yang bermakna dan masih tertutup aurat sepanjang aku tidak berayah. Aku berkata dalam diam sekadar cuba menbendung perasaanku.
Hari ini, apabila aku menyoroti masa silamku, pengalaman itu sangat berharga buat diri.Aku tidak pernah menyesal menjadi anak yatim. Tidak pernah jengkel kerana tidak menjamah juadah berbuka yang enak pada malam Ramadan. Tidak terkilan kerana tidak mendapat baju baharu menjelang Syawal. Justeru aku amat bersyukur kerana tidak pernah kebuluran sepanjang aku hidup dalam kemiskinan. Aku tidak pernah kelaparan barang sehari pun.
Justeru menjadi anak yatim banyak mengajar aku menghargai kehidupan. Menjadi anak yatim membuatkan aku menyanjung tinggi kesabaran ibuku. Ibu tunggal yang membesarkan enam orang anak-anaknya yang masih kecil dalam serba kekurangan.Ibu tunggal yang tidak pernah bersungut atas takdir yang dipikulkan ke atas bahunya. Aku banyak belajar daripada kecekalan ibu tunggal ini. Menjadi anak yatim banyak mengajar aku mengenal Tuhan. Sesungguhnya Tuhan, rahmat-Mu amat luas.Fa shabrun jamil.Maka bersabarlah yang cantik.
sh. umamah sy. abdullah al-edrus
11 Julai 2013
12:00
Isnin, 22 April 2013
SETEGUH KARANG DI LAUT
Namun aku tidak pernah melihat dia menangis, mengeluh apatah lagi mempamerkan wajah kesal terhadap takdirnya. Dia sekadar diam dan berfikir jauh. Diam tatkala bekalan elektrik dipotong dan diam tatkala bekalan air dihentikan. Ketika hanya beberapa titisan air menitik-nitik dari pili air, pada hari itu juga hujan mencurah-curah turun. Tidak dapat aku bayangkan saat-saat getir yang harus dia tongkah . Ketika sudah tidak ada setitik air pun menitik, air hujan pula mencurah-curah turun dari langit dengan lebat sekali. Namun ibu ini terus diam dan berfikir jauh sambil matanya memerhati dengan lesu hujan yang turun dari langit. Diam dan berfikir tentang hujan. Hujan yang lebat turun tatkala air di pili sudah kering daripada mengalir.Diam dan berfikir tatkala manusia merampas haknya untuk hidup sebagai ibu tunggal bersama-sama anak-anaknya yang masih kecil dengan memenggal saluran paip air dan pada masa yang sama DIA mencurah-curahkan limpahan air dari langit yang terbentang luas. Di tepi jendela dia terus diam dan berfikir . Melihat butiran rahmat dari langit dia bertanya dalam diam,
“Apakah air hujan ini yang mencurah-curah turun akan dapat ditukarkan menjadi wang-wang kertas untuk menampung kehidupannya dan anak-anaknya”.
Sehingga ke saat ini, aku selalu cuba menjiwai perasaannya dan tekanan perasaannya, yang terpaksa dilalui bersendirian di bandar dan jauh daripada saudara-maranya. Tentu terlalu pahit untuk aku ungkapkan andainya aku boleh meletakkan diriku ke dalam dirinya. Janjinya pada diri, seandainya dia tidak mampu memberi pendidikan kepada anak-anaknya, dia akan menghantarnya ke rumah anak-anak yatim. Bukan dengan niat mencampakkan bebanan justeru lebih kepada memastikan anak-anaknya berpeluang mendapat ilmu. Cita-citanya hanya satu...iaitu melihat anak-anaknya berpeluang mendapat pelajaran termakbul. Sungguh, dia tidak mahu 'buta huruf' berkitar dalam kehidupan anak-anaknya.
Namun, Allah tidak menizinkan hal itu berlaku. Ibu ini tetap bersama anak-anaknya dengan rezeki yang tidak pernah putus pula. Tidak pernah sehari pun anak-anaknya kelaparan selama di bawah jagaannya meskipun hidup dalam serba kekurangan.
Kini , ibu ini selalu ketawa dan suka bergurau pula seakan-akan tidak pernah melalui saat-saat getir dalam hidupnya. Dan aku selalu terhibur tatkala berbual dengannya dan selalu memintanya memeluk aku dan mencium aku pada segenap wajahku........dan aku rasakan bagaikan dipeluk bidadari syurga apatah lagi diiringi doa daripada bibir ibu yang sangat baik ini, berhati mulia, berjiwa kental dan tulus serta bersih hatinya.
Sesungguhnya ibu ini , ibu yang berstatus janda ini...dia adalah ibuku. Dan aku tersangatlah bertuah kerana lahir dari 'rahim' ibu ini............seorang ibu yang sentiasa dalam peliharaan-Nya dan sentiasa dalam rahmat-Nya.....................dan aku sangat mencintai ibu ini...seorang ibu yang buta huruf namun tidak buta dalam mengenal erti hidup.
Jumaat, 19 April 2013
Bahasa ‘alam...memang makanan aku!
Bahasa ‘alam...memang makanan aku!
Terserempak saya dengan si biawak . Terkedek-kedek merangkak lalu memanjat tebing sungai dengan gembiranya sambil menggonggong mangsa, tikus barangakali. Saya terkejut, dia juga terkejut. Saya tidak lari tetapi dia yang lari. Terjun semula ke dalam sungai tasik Laman Ilmu Dan Budi ini dengan mulutnya masih kejap menggonggong mangsanya. Melarikan diri sepertilah saya ini mahu merampas makanannya itu. Saya hanya memerhati dan sekejap itu dia menghilangkan diri ke dalam sungai lebar yang berkeladak susu. Lalu saya meneruskan langkah, berlari-lari anak di pinggir sungai yang hanyir baunya pada pagi-pagi hening begini.
Hanya beberapa langkah sahaja tiba-tiba dua ekor tupai kejar-mengejar di sisi. Saya tidak tahu jantinanya, apakah seekor betina dan seekor lagi jantan atau kedua-duanya betina atau kedua-duannya jantan. Andai seekor betina dan seekor jantan, adatlah saling ada daya tarikan semulajadi. Andai kedua-duanya daripada jantina yang sama, adatlah juga, berebut-rebut benda yang sama atau peluang yang ada sedangkan kalau mahu boleh sahaja berikhtiar mencari tanpa perlu saling berkejar dan saling berebut begini. Jadi satu keseronokan pula haiwan ini berkejar-kejar dan berebut-rebut. Saya mendiamkan diri dan sungguh kedua-dua ekor tupai ini tidak peduli saya yang ketawa memerhati.
Saya masih berdiri di laluan pejalan kaki apabila bunyi decuhan air menarik anak mata ini untuk melirik ke sungai tasik semula. Si bangau, rutin paginya , sibuk mengoyakkan paruhnya lebar-lebar lalu mengais-ngais celahan air mencari-cari ikan yang tenggelam-timbul bermain sembunyi-sembunyi. Bagaimana agaknya perasaan ikan-ikan ini dengan kehadiran bangau-bangau yang sedang lapar begitu? Tentu tidak aman untuk meliuk-lentuk dan menyelam-nyelam mencari rumput-rumpai laut atau apa sahaja yang boleh dimakan. Tidak kasihankah si bangau-bangau ini kepada ikan yang juga inginkan ketenteraman dan kebebasan. Ah, adat 'alam, dia memang makanan aku! Pasti itu yang akan dijawab si bangau.
Di pinggir sungai saya jadi kaku seketika. Fikiran cuba menghadam bahasa 'alam. Memikirkan manusia yang juga makhluk ciptaan Tuhan. Berkejar-kejar , berebut-rebut dan rampas-merampas dalam bahasanya yang tersendiri pula. Yang lemah , yang miskin dan yang tidak ada daya menjadi mangsa kepada yang kaya , yang kuat dan yang berpengaruh. Adat 'alamkah berebut-rebut , saling bertingkah dan saling membenam. Tidak ada rasa belaskah antara sesama manusia ini ? Apakah akan ada juga yang berkata ... ‘memang makanan aku’.
Begitulah …..............di sebalik bahasa ‘alam! Lalu saya meneruskan langkah di Laman Ilmu Dan Budi ini meninggalkan biawak yang sedang lahap mengoyak bangkai tikus, si tupai-tupai yang kecoh kejar-mengejar dan si bangau-bangau yang tidak berputus asa mencari mangsanya yang hilang bersembunyi di sebalik sungai yang hanyir dan berkeruh-keladak susu. itu.
Isnin, 31 Disember 2012
DARI PENTAS TWINS OF FAITH
Dari satu penjuru , aku melihat dan mendengar dengan haru. Bagaikan sepohon pokok, berbatang kayu yang tegap, dijulangi ranting-ranting yang menggenggam erat daun-daun hijau yang bergantungan agar daun-daun hijau itu melarut cahaya gemilang mentari. Pucuk-pucuk mudanya merecup dengan putik-putiknya yang bakal menggayutkan buah yang berwarna galak bagi menawan hati siunggas menghinggap dan menikmatinya. Pohon ini kukuh berdiri di atas perdunya yang tegap manakala akarnya menjalar, menjangkar kukuh sehingga jauh ke dalam tanah. Setiap satu saling membantu dan saling mengikat dalam menghidupkan satu kehidupan untuk mengabdikan diri kepada Yang Menciptakan.

SubhanaaLlah! Itulah yang aku lihat di atas pentas di dalam dewan yang besar ini. Berbicara tentang akidah, tentang kasih sayang, tentang RasulLullah sallahu alaihi wassalam , tentang kebesaran Allah subhanahu wa ta’ala, dalam suasana yang sangat beradab dan kaya dengan limpahan kecintaan. Dari jalanan yang dikelilingi kemaksiatan dan daripada kehidupan yang diapungi kekeliruan, yang berkulit putih, yang berkulit hitam, yang berkulit sawo matang, bersatu di atas pentas , meluahkan keberuntungan menjadi Muslim dan kelazatan menjadi muhsin dan setiap diri mencita-citakan Jannah malah dalam leraian air mata , mengidamkan untuk melihat wajah Allah subhanahu wa ta’ala.
Bersatu , berdiri kukuh atas perdu Islam dengan iman sebagai akar yang menjangkar kukuh , menghasratkan kehidupan yang diredai di dunia dan di akhirat. Keistimewaan yang sangat luarbiasa, berbicara dengan lancar dan berseni, sarat berisi dan mudah dimengerti serta dihadami, aku menjadi sangat kagum. Kepelbagaian dan peranan seumpama sepohon pokok , andai bersatu dan tunduk pada sunnahtuLlah , akan terpancar keindahan yang sangat luarbiasa, sebagaimana yang aku dapat dengar dan lihat dari satu penjuru di bawah lampu yang kelam-kelam begini. Sungguh aku menjadi sangat haru dan jiwa tertunduk malu.
Khamis, 6 Disember 2012
KISAH SEBATANG SUNGAI
KISAH SEBATANG SUNGAI
Kisah sebatang sungai, airnya mengalir kencang tatkala berada di udik, Berkejar-kejar menuruni tebing tinggi, tanpa rasa gentar. Berpusar dalam keluk jeram yang dalam lalu berkejar lagi. Biarpun diri menghempas batu-batu besar yang kadang-kadang seperti sengaja duduk di tengah-tengah laluan sungai. Ah! Batu itu seperti mahu mengingatkan, “Hati-hati kawan , jangan lupa diri”.
Akan tetapi air sungai itu tidak peduli. Semangatnya sungguh berapi-api. Mahu terus berkejar dan berkejar supaya cepat sampai ke kuala dengan mengangkut sebanyak mungkin khazanah sungai bersama-samanya.
Namun semakin jauh perjalanan, semakin berliku-liku pula laluannya. Perjalanan juga sudah semakin melandai dan mendatar. Lalu dia menjadi letih. Semuanya jadi perlahan dan lembab. Namun semangat masih belum mati. Dia akan tetap teruskan perjalanan. Dia mesti terus berkejar dan mengejar. Hasrat dan cita-citanya mesti dicapai . Dia mesti sampai ke kuala dengan mengangkut sebanyak mungkin khazanah sungai.
Namun apabila sampai di kuala, barulah dilihat pada diri. Barulah diamat-amati khazanah yang diangkut sepanjang perjalanannya. Dan barulah dia hendak mencermin diri. Ah! Alangkah terkejutnya dia. Baru sekian kalinya dia sedar. Dia bukan lagi air sungai tatkala di udik yang jernih lagi hening-bening melainkan diri telah bersebati malah larut dengan lumpur dan selut. Yang diangkut itu juga berupa beban yang penuh dengan sampah sarap. Tidak mungkin untuk berpatah balik , memperbetul dan menjernihkan diri melainkan bersedialah terhumban ke dalam laut yang akan melambung-lambungkan diri dalam badai yang lebih mengganas. SubhanLlah..... Semoga hambamu ini sentiasa bermuhasabah dan berada lurus di atas jalan-Nya.
Khamis, 29 November 2012
SERAPUH HATI QABIL
Serapuh Hati Qabil
Menelusuri kisah Habil dan Qabil dalam surah al-Maidah ayat 27-31 benar-benar menghantuk fikiran saya. Kisah yang bukan sahaja memaparkan urutan cerita bahkan mengungkap persoalan yang tersirat tentang hubungan kita dengan Allah Ta’ala dan hubungan kita sesama manusia.
Begitu degil si Qabil. Menurut peraturan, dia sepatutnya berkahwin dengan kembar Habil. Tapi dia tak mahu kerana kembar dia lebih cantik. Begitu ya, perempuan cantik , atau apa-apa sahaja yang cantik pasti menjadi pancingan. Meskipun dilarang, Qabil tetap mahukan kembarnya yang cantik.
Lalu diperintahkan pula supaya Habil dan Qabil membuat korban. Korban Habil diterima manakala korban Qabil ditolak. Punca korban Qabil tidak diterima kerana dia tidak ikhlas. Korbannya adalah hasil tanaman yang sepatutnya dibangkul-sampahkan sahaja.
Lalu diperintahkan pula supaya Habil dan Qabil membuat korban. Korban Habil diterima manakala korban Qabil ditolak. Punca korban Qabil tidak diterima kerana dia tidak ikhlas. Korbannya adalah hasil tanaman yang sepatutnya dibangkul-sampahkan sahaja.
Ada beza tak dengan kita cucu-cicit Nabi Adam?. Kita mahunya macam-macam. Mahu yang cantik. mahu jadi kaya, dan serba-serbi mahu yang terbaik sahaja. Kalau dah beri cantik, nak jadi cantik selama-lamanya. Sudah terlupa agaknya, satu hari akan reput dan akan jadi tanah semula.Dah kaya pun , masih berebut-rebut nak jadi paling kaya antara yang dah kaya. Tak teringat agaknya nanti yang dibawa hanya kain putih belaka. Tapi katanya, harta itu tak sia-sia juga dicari kerana boleh diagih-agihkan pada anak-anak nanti.
Tapi owh!....terlupa pula hendak mendidik anak-anak jadi seperti Habil. Ya. Habil yang sentiasa takut pada azab Allah Ta`ala. Sebaliknya anak-anak yang tinggal itu hatinya macam Qabil belaka. Meskipun sudah dibahagikan sama rata dan ikut peraturan, tapi tetap tidak puas hati. ,tetap saja dengki dan iri hati. Lalu terbiar si ayah yang kaya , terkejip-kejip di atas katil, memerhati dan mendengar tingkah-meningkah antara si anak-anak. Dia sendiri sudah tidak berupaya, diserang strok akibat makanan yang serba kaya juga.
Itulah hakikatnya. Kita mahu macam-macam tetapi apabila Allah Ta’ala minta kita ikut perintah-Nya, taat akan suruhan-Nya, samada kita berontak tidak mahu ikut atau kita buat-buat tidak tahu dan buat-buat tidak dengar. Telinganya ada tetapi tidak dengar-dengar juga. Susah sangat nak dirikan solat, payah pula nak tutup aurat, kedekut pula apabila disuruh bersedekah. Sungguh kurang sopan kita ini dan sungguh kita tidak malu. Sama tidak malu dengan Qabil.
Rabu, 28 November 2012
HANYUT di LAMAN ILMU DAN BUDI
HANYUT di LAMAN ILMU DAN BUDI
Saya suka beriadah di sini, seorang diri berlari-lari dalam langkah yang serasi dengan usia. APada pagi embun masih berbutir-butir di atas daunan hijau, semerbak pelbagai bauan daripada pelbagai jenis tumbuhan hijau sangat menakjubkan. Begitu pun wangian cempaka putih yang sangat memabukkan rasa , aduh, sungguh saya digoda haruman yang mengasyikkan.
Bangau-bangau yang lapar agaknya, menyudu-nyudu mencari mangsa tidak peduli kehadiran saya.Decah-decuh alunan sungai yang tidak pernah berhenti mengalir bagaikan satu simfoni merdu bersenandung mendamaikan alam dan decip-decit beburung teradun dalam satu melodi yang semulajadi rentaknya sungguh menggetarkan jiwa. Mengepakkan sayapnya mempertonton aksi hebat terbang ke sana ke mari seperti mencabar dan berkata-kata, "Ayuh! Kembangkan kepak, terbang bersama-sama kami".
Berbaring di atas rerumput yang basah sebagai aktiviti meregangkan badan membenarkan mata ini melihat langit biru yang luas terbentang diapungi kelompok-kelompok awan putih.Tidak ada satu ruang daripada pandangan dan penglihatan saya yang terlepas daripada menghayati karya Maha Agung ini.
Hanyut dan larut dalam keindahan menakjubkan dan memabukkan rasa, saya memejamkan mata.......memikir-mikir dan membayang-bayangi bagaimanakah kelak seandainya aku menjadi penghuni syurga...Subhanallah! Sesungguhnya mati itu pasti dan Dia tidak pernah memungkiri janji,.................... ..!
Ahad, 25 November 2012
LARUT BERSAMA BILAL BIN RABAH
LARUT BERSAMA BILAL BIN RABAH
Membayangi diri, berada di kota Mekah pada masa silam, lebih 1400 Hijrah membuatkan jiwa haru dan amat sebak. Saya begitu larut dengan kisah silam itu sehingga tidak dapat menahan air mata daripada mengalir , tetapi mujur saja saya di duduk di barisan atas dan belakang dewan dengan lampu dimalapkan, membolehkan saya menyembunyikan wajah yang sudah basah dengan air mata .
Suara lantang Sheikh Yawar Baig , melantun-lantun pada segenap ruang dewan CAC, UIAM, mengisah kembali seorang hamba abdi yang bukan sekadar dihinakan bahkan disiksa dengan siksaan yang tidak akan tertanggung oleh manusia biasa..Bilal , itulah nama yang dihinakan ketika itu namun nama itu kini sentiasa basah dibibir kaum Muslimin setiap kali laungan azan diserukan.
Namun apakah Bilal bin Rabah akan berbangga apabila dianggap wira kerana penghormatan yang diberikan Rasulullah Sallallahu ’alaihi wassalam untuk melaungkan seruan azan buat kali pertama di Kota Mekah sehingga namanya disebut-sebut hari ini? Sungguh, bukan itu yang akan menjadi memori indah dalam hidupnya .
Kemuncak kemenangan dalam dirinya adalah tatkala beliau berjaya mencabar keegoaan tuannya Umayyah bin Khalaf. Biar berulangkali Umayyah Ibn Khalaf memaksa Bilal mengakui Latta dan Uzza sebagai tuhan, namun Bilal terus mencetuskan kemarahan dan sekaligus mengajar Umayyah bahawa yang berhak disembah adalah Allah Yang Satu. Dipukul. dipalu, diheret dan dijemur di tengah panas padang pasir sekalipun, namun beliau tidak akan berganjak bahawa yang berhak disembah adalah Allah Yang Satu.
Itulah kemuncak kemenangan dan detik paling manis dalam sirah hidupnya yang meletakkan diri daripada seorang hamba yang dihinakan oleh manusia kepada jiwa yang dimuliakan disisi Allah Subahanahu Wata’alla. Sehingga selepas kewafatan Rasullullah sallalLahu alayhi wa alihi wassalam, Bilal tidak berdaya untuk mengalunkan seruan azan kerana beliau akan menangis teresak-esak apabila menyebut “Ash hadu anna Muhammad Rasullullah”. Begitulah kasihnya yang sangat mendalam terhadap kekasihnya Rasullullah sallaLlahu alayhi wa alihi wasallam.
Lalu saya melihat ke dalam diri, sejauh manakah kasih saya terhadap Rasullullah Sallalllahu alaihi wassalam, yang telah mengharungi jerih payah menanam aqidah ke dalam hati ini agar menundukkan keegoaan diri pada Allah Yang Satu. Saya juga bertanya , apakah detik kemenangan dan kemanisan yang akan saya pateri dalam sejarah hidup selama masih bernafas di bumi untuk membolehkan diri ke syurga? Semakin saya larut dan hadam dalam kisah silam yang begitu merentap jiwa dan fikiran , semakin saya tidak mampu menahan air mata hangat daripada mengalir. Sungguh, saya terpaksa berhenti di sini.
CERMIN
CERMIN
sh. umamah sy. abdullah al-edrus
Sejak kecil kita telah pun melihat cermin. Melihat diri secara tersurat. Andai cermin itu boleh merakam, tentu beribu-ribu rakaman telah dibuat . Merakam wajah setiap kali dan setiap hari kita menghadap cermin.Apabila dipantulkan rakaman itu, fasa-fasa perubahan pada diri pasti terlihat. Persis perubahan fasa pada bulan, berperingkat-peringkat dari anak bulan kemudian mengembang menjadi bulan purnama. Bedanya bulan berbalik semula kepada anak bulan sedang kita tidak akan kembali kepada fasa anak bulan, justeru lebur menjadi tanah dan debu.
Melihat diri dalam cermin, merapi kehodohan yang ada pada diri supaya diri tidak hodoh lagi. Merawat cacat-cela agar tidak cacat lagi. Yang selekeh diperkemaskan, kulit yang kendur diketat-ketatkan.
Sungguh cermin tidak berbohong. Dari dalam cermin akan memperlihatkan keindahan, dari dalam cermin akan memperlihat kehodohan.Dari dalam cermin juga memperlihat diri.....diri yang tidak akan kekal abadi. Semakin usia meniti-niti , menjejaki detik-detik masa, semakin takut pula hendak menghadap cermin. Tuan Sutung Umar RS bertanya, berapa kali kita menghadap cermin? Tidak pasti. Namun yang pasti kita semakin kurang melihat cermin apabila keindahan diri perlahan-perlahan tanggal satu persatu.
Hanya yang mengenal hakikat diri, akan melihat cermin berulang kali,mencari-cari kelemahan diri untuk sentiasa diperbaik kerana dari dalam cermin, dia sebenarnya tidak melihat dirinya justeru yang dilihat adalah kehebatan yang menciptakan dirinya daripada tanah/nutfah lalu membentuk manusia sempurna lalu dikembalikan semula menjadi tanah. Subhana-Allah.......tuan Sutung, saya tidak mampu lagi untuk meneruskan kata-kata ini dan terima kasih mencetuskan kesedaran ini.
11 November 2012
KACA YANG HANCUR BERDERAI
USAH TANGISI KACA YANG PECAH BERDERAI
Sahabat. Usah ditangisi pada kaca yang telah pecah. Kutiplah kesemua serpihan kaca dengan kesabaran dan kebijaksanaan tanpa terluka dan melukakan. Setelah itu mengapa harus berputus asa? Apakah kerana kita fikir kaca yang telah pecah tidak dapat ditautkan kembali?Sememangnya tidak mudah mempertaut kembali serpihan kaca yang sudah berderai. Namun itu tidak mengapa. Kita pasti akan mendapat kembali kaca yang indah, kukuh dan lebih tinggi mutunya.Hanya sahaja kita perlukan kecekalan, keyakinan, kesabaran dan kebijaksanaan.Ayuh sahabat!. Cairkan serpihan kaca itu dengan bahan pengikatnya, lalu hangatkan sehingga kita dapat membentuk kaca itu semula dalam bentuk yang lebih indah dan kukuh. Setelah sejuk, kita akan dapat semula kaca yang lebih tinggi mutunya Letakkanlah di atas telapak tangan , lalu genggamlah dengan seerat-eratnya agar kisah sedih kaca jatuh berderai tidak berulang lagi.Berkat kecekalan , keyakinan , kesabaran dan kebijaksanaan , tidak ada sesiapa yang akan terluka atau menjadi luka akibat sepihan kaca yang jatuh berderai justeru kita berjaya mengutip kembali kesemuanya lalu mempertaut kaca itu pada bentuk yang lebih kukuh dan indah.Kebahagian itu sahabat, terasa lemak manisnya dan terasa besar nikmatnya seandainya kita berjaya menongkah segala rintangan dan kepayahan dengan hati yang ikhlas dan keimanan yang tinggi. Sesungguhnya.........hadirnya kita di muka bumi adalah untuk diuji oleh-Nya . sh. umamah sy. abdullah al-edrusMay 10 at 8:00pm ·
x
Sahabat. Usah ditangisi pada kaca yang telah pecah. Kutiplah kesemua serpihan kaca dengan kesabaran dan kebijaksanaan tanpa terluka dan melukakan. Setelah itu mengapa harus berputus asa? Apakah kerana kita fikir kaca yang telah pecah tidak dapat ditautkan kembali?Sememangnya tidak mudah mempertaut kembali serpihan kaca yang sudah berderai. Namun itu tidak mengapa. Kita pasti akan mendapat kembali kaca yang indah, kukuh dan lebih tinggi mutunya.Hanya sahaja kita perlukan kecekalan, keyakinan, kesabaran dan kebijaksanaan.Ayuh sahabat!. Cairkan serpihan kaca itu dengan bahan pengikatnya, lalu hangatkan sehingga kita dapat membentuk kaca itu semula dalam bentuk yang lebih indah dan kukuh. Setelah sejuk, kita akan dapat semula kaca yang lebih tinggi mutunya Letakkanlah di atas telapak tangan , lalu genggamlah dengan seerat-eratnya agar kisah sedih kaca jatuh berderai tidak berulang lagi.Berkat kecekalan , keyakinan , kesabaran dan kebijaksanaan , tidak ada sesiapa yang akan terluka atau menjadi luka akibat sepihan kaca yang jatuh berderai justeru kita berjaya mengutip kembali kesemuanya lalu mempertaut kaca itu pada bentuk yang lebih kukuh dan indah.Kebahagian itu sahabat, terasa lemak manisnya dan terasa besar nikmatnya seandainya kita berjaya menongkah segala rintangan dan kepayahan dengan hati yang ikhlas dan keimanan yang tinggi. Sesungguhnya.........hadirnya kita di muka bumi adalah untuk diuji oleh-Nya . sh. umamah sy. abdullah al-edrusMay 10 at 8:00pm ·
x
Langgan:
Catatan (Atom)
.jpg)









