Sabtu, 11 Oktober 2014



SEBANDING BIJI SAWI



Hendak mencapai langit

Tangan sejengkal tidak tersampai

Menghentak kaki ke bumi

Terbelah, retak pun tidak

Kalau diri sebanding biji sawi

Jangan mimpi menakluk bumi

Jangankan hidung ditinggikan ke langit

Nyawa sendiri tidak terkendali

Kelak mati pun nanti

Kubur sendiri tidak tergali

20hb. Disember 2013

Khamis, 9 Oktober 2014

Dayung Ayuh Berdayung



Bergeluk Sang Penyu
Dalam samudera dalam
Berdendang pilu, berlagu sendu
Dalam getar olak airnya melesu
Dalam airnya berkelodak laut
Dingin lautnya meremai sulbi

Dengarkan Sang Penyu
Usah sengkela pada sepi
Memasung diri pada sendu

Ayuh!
Keluar dari lubuk matimu
Julurkan jemala , kepakkan tungkai
Tegakkan tempurung perisai keramat

Dayung ayuh berdayung
Redah ombak, redah badai
Gempur amuk gelora laut

Sampai pastikan sampai
Muka laut mesti digapai
Hulurkan jemala menyiuk udara
Susur sampai ke tepi pantai

Dengarkan!
Teriak ombak mendesau indah
Angin menderu bersiul-siulan
Awan kemawan berarak-arak
Seringai bianglala cantik menawan
Menghibur lara sepi Sang Penyu

Di pasir putih Sang Penyu menangis
Haru bebas dari belenggu
Bersama ombak, angin, awan dan bianglala
Sang Penyu turut bertasbih syahdu.

umamah al-edrus
25 mei 2010
Kg. Changkat, Gombak.

Khamis, 2 Oktober 2014



DHUHA JUMAAT




Dhuha Jumaat
dhuha yang amat indah
dengan semarak cahaya gemilang
menghidupkan kehijauan
seluruh alam

Jika aku dapat mendengar
zikir, tasbih dan tahmid
dari seluruh penjuru alam itu
akan gementarlah seluruh tubuh
kalbu dan jantungku
dan tubuhku pun longlai
atau langsung jatuh
tak sedar lagi diri
untuk beberapa waktu
sebelum bangun dan sujud
Sujud
sujud
sujud

Kaulah Yang Maha Agung
aku hanya debu
debu
debu
dalam kebesaran-Mu

Dhuha Jumaat
yang sentiasa kunantikan
kutunggu,
sentiasa kurindukan….

sh. umamah syed abdullah al-edrus
12 Mei 2012, K. Lumpur.
disunting oleh tuan Sutung Umar Rs

Khamis, 24 April 2014

WAJAH YANG KIAN PUDAR



WAJAH YANG KIAN PUDAR




Gombak...
sudah pudar wajahnya
sudah hilang ronanya
sudah lenyap rohnya
sedang mati adab dan budinya
tidak lagi dingin
tidak lagi permai

aku tidak ketemu lagi bukit nan hijau
atau lereng bukit yang berdenai
nan dicelahannya ada dusun
yang boleh kupetik jering, kerdas dan petai
atau rambai, ciku, pulasan, manggis dan binjai
malah buah sebesar cermai

atau kali nan jernih tempat ikan bermain
selam-menyelam dalam decah-decuh pusaran air
gelak-tawa bersama anak-anak bermandi sungai
monyet dan tupai turut terintai-intai

atas nama ilmu dan budi
katanya mahu membangunkan diri
bermacam-aneka yang berdiri
rumah berhimpit dan pangsapuri
kedai berderet dan pusat pengajian tinggi
bukit pun diratah dan sungai ditelanjangi
embun pun hilang tempat meniti

yang tinggal hanyalah air mata kali
mengalir lesu dalam sangsai
atas tanah yang sudah landai
haiwan hutan hilang tempat bersantai
haiwan sungai mati tersadai
beburung hilang tempat bersidai

Gombak…
udaranya telah disalai
tanahnya sudah tergadai!

sh. umamah sy. abdullah
GOMBAK, KL.
17 hb. April 2014
13:00

Khamis, 13 Mac 2014

TAKUT DAN HARAP

Takut dan Harap


Pada setiap lintasan kilat, ketikan petir dan deruman guruh yang menakutkan, ada rahmat Tuhan yang melimpah ruah. Limpahan hujan yang menghidupkan bumi selain memberi nafas kepada jaluran sungai agar jangan berhenti mengalir. Berita gembira buat hamba-hamba-Nya yang ketandusan dan menanti dengan penuh harapan. Jika yang didatangkan itu adalah petaka besar, meranapkan kehidupan, menjadikan manusia termangu-mangu dalam tangisan, datangnya musibah itu juga adalah atas titah Tuhan, sebagai peringatan bahawa alam ini adalah dalam genggaman-Nya. Setiap helaan nafas yang turun naik, setiap detik waktu yang meniti-niti, daripada penciptaan sebesar debu kepada penciptaan sebesar alam raya, semuanya adalah di bawah takluk-Nya, di bawah naungan-Nya, di bawah maunah-Nya.

Bumi ini adalah ranah ujian. Pada setiap ujian itu akan terserlah setiap tindak-tanduk pelakunya dan akan terserlah pada setiap tutur bicaranya, apakah menurut jalan yang benar atau menyimpang tersasar ke jalan yang salah. Pada dada bumi, dada langit dan dada lautan dan pada setiap perincian hidup yang berwarna-warni adalah ayat-ayat. Ayat-ayat yang menuntun manusia kepada-Nya dan hanya tertuntun kepada mereka yang mahu berfikir. Di sana ada syurga, di sana juga ada neraka. Kita hanya diberi dua pilihan, tidak tiga atau selebihnya.

Berserah dirilah kepada-Nya, hanya kepada-Nya...pada setiap detik waktu…. ketika susah juga ketika senang, ketika dalam payah atau ketika lapang, ketika menangis atau ketika gembira. Pastinya ada rahmat yang tersirat yang tidak terjangkau oleh akal manusia yang sejengkal. Maka berdoalah sebagaimana Nabi Ya’akob berdoa ketika dalam resah,
“Jika demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, mudah-mudahan Allah mengembalikan mereka semua kepadaku. Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
………...Yusuf : 83………………...

Ahad, 16 Februari 2014

LETUSAN KELUD






LETUSAN KELUD ...AL-'ARAF 143


Letusan KELUD membuat saya tergamang. Bencana alam ini menyorot ingatan saya kepada satu ayat daripada surah al-'ARAf ayat 143, bagaimana keinginan Nabi Musa alayhi salam yang begitu mendalam untuk melihat Allah. Allah subhanahu wa ta'ala sekadar memperlihatkan gunung yang hancur lebur sudah cukup membuatkan Nabi Musa pengsan dan amat menginsafkan Nabi Musa betapa besarnya kekuasaan Tuhan. Lalu bagaimana perasaan kita tatkala menyelami bencana ini?

"Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata:

“Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (ZatMu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihatMu”. Allah berfirman:

“Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu”,

Setelah Tuhannya “Tajalla” (menzahirkan kebesaranNya) kepada gunung itu, (maka) “TajalliNya” menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia:

“Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepadaMu, dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku)."

...............................al-'Araf : 143.........................

Rabu, 12 Februari 2014

AL-ISRA’



AL-ISRA’
BERJALAN MALAM
Surat ke 17 , 111 ayat
diturunkan di Mekah

Surat yang ke 17 ini, bernama al-Isra’ yang ertinya ‘berjalan malam’. Diambil yang demikian itu kerana ayat yang pertama menerangkan Allah memperjalankan hamba-Nya iaitu Muhammad sallah allahu alayhi wassalam pada malam hari dari Masjidil Haram di Mekah menuju Masjidil Aqsa. Sedangkan jarak di antara kedua-duanya atau jarak di antara Tanah Hejaz dengan Tanah Palestin adalah jauh. Al-Aqsha ertinya jauh.
Di samping al-Isra’, surat ini juga dinamakan surat Bani Israil kerana dari ayat 2 hingga ayat 8 ada diterangkan suka duka yang ditempuh oleh Bani Israil sejak mereka di bawah pimpinan dan bimbingan Nabi Musa membebaskan diri daripada penindasan Fir’aun di Mesir, sampai naik bintangnya dan sampai pula mereka jatuh, sampai dua kali, kerana ajaran Nabi Musa itu tidak mereka pegang lagi.

Sesudah menerangkan sepintas lalu, tetapi secara mendalam tentang sebab-sebab kejatuhan Bani Israil itu, untuk menjadi pengajaran, baik bagi keturunan Bani Israil yang hidup di Madinah ketika ayat diturunkan, atau bagi umat Muhammad buat segala zaman untuk dijadikan kaca perbandingan, maka berturutlah datang ayat-ayat memberikan tuntunan tentang aqidah, pegangan kepercayaan dan budi pekerti yang harus ditegakkan supaya hidup manusia selamat, baik dalam hubungannya dengan Allah atau dalam hubungannya sesama manusia.

Dari ayat 22 hingga ayat 38 , kita diberi tuntunan budi pekerti yang akan dijadikan pegangan hidup itu, sejak dari tauhid meng-Esakan Allah sehingga sikap hormat-khidmat kepada ibu bapa , sampai juga kepada sikap hidup sesama manusia.

Dari ayat 61 sampai 65, sebagaimana terdapat pada beberapa surat yang lain, dilukiskanlah permulaan pertentangan antara manusia pertama Adam dan Iblis, hingga Adam dapat diperdayakan sehingga Adam, Hawa dan iblis disuruh keluar dari dalam syurga. Dan setelah keluar dari dalam syurga, Adam dan keturunannya disuruh diam di muka bumi sampai kepada satu masa yang ditentukan. Dan Tuhan pun menjanjikan bahawa selama manusia itu masih memegang teguh petunjuk-petunjuk yang didatangkan oleh Tuhan, manusia itu akan selamat. Kemudian itu diterangkan pula bahawa iblis seketika akan dikeluarkan itu, meminta kepada Allah agar diberi kesempatan memperdayakan manusia sehingga ajaran setanlah yang berpengaruh dan manusia itu jadi tersesat.

Diterangkan di sana bahawa Tuhan memberikan kesempatan itu kepada iblis dengan peringatan bahawa ‘IBAADI’, ertinya hambaKu yang sejati yang selalu menyedari bahawa Akulah Tuhan, tidaklah dapat engkau perdayakan, tidaklah dapat engkau kuasai (ayat65)

Setelah membuat umpama dari hal kehidupan manusia dengan bahtera kapal yang belayar mengharung lautan besar, maka pada ayat 70 disedarkanlah manusia oleh Tuhan bahawa manusia itu diberikan kemuliaan di dunia, ditanggung hidupnya di darat dan di laut, dijamin rezekinya dan dilebihkan dia daripada makhluk yang lain.

Sesudah itu diteruskanlah ayat-ayat tuntunan bagi Nabi Muhammad sendiri bagaimana caranya baginda memperkuat peribadinya menyampaikan dakwah, supaya dia tetap hati, jalan yang lurus, jangan peduli akan pujukan mereka meskipun antara itu dia akan diusir dari negerinya (kemudian ternyata beliau berhijrah ke Madinah). Disuruh dia selalu beribadat, tegakkan sembahyang, lakukan solat tahajjud kerana dengan demikian martabat beliau akan lebih ditinggikan, masuk dengan benar, keluar pun dengan benar dan kekuasaan akan langsung diterima Allah. Dan al-Quran adalah ubat. Semuanya itu adalah teladan bagi ummatnya dalam terus menegakkan da’wah bagi agama ini. Selama dunia masih terkembang dan manusia masih mendiami bumi.