Khamis, 23 Oktober 2014

Abu Hayyan al-Aydrus



Dari Muharam ke Muharam, sungai kehidupan terus mengalir. Orang Arab memanggil sungai kecil yang mengalir, 'jadwal'. Jadual kehidupan insan mengalir bersama tera dan kira, tata dan cara. Arus mengalir, jadual berakhir. Pesan seorang guru, ziarahilah taman yang akan mengingatkan engkau hari terakhir. Ia merupakan perhiasan penuntut ilmu. Alangkah rugi bertahun-tahun menimba ilmu, tidak diziarahi taman yang memandu. Sama ada engkau memasang jentera atau mengunci kira, menata diri atau mena'akul bicara, peringatan yang memadai buat seseorang hamba ialah saat berakhirnya suatu jadual.
Abu Hayyan al-Aydrus


Kepelbagaian bangsa menyumbang kepada taʿāruf dan maʿrifah. Kita tidak belajar untuk menjadi berbeza tetapi untuk menghayati kecantikan dan menjawab soalan-soalan yang betul. Sekiranya ilmu menunjukkan jalan ke syurga, maka ilmu akan menunjukkan kecantikan dan keyakinan, bukan kebingungan. Kepelbagaian yang membawa kebingungan tentu bukan ilmu dan ia berpunca daripada soalan-soalan yang salah. Alhamdulillah, kita telah diberi panduan untuk membetulkan soalan kehidupan dan mendapatkan jawapan.
Abu Hayyan al-Aydrus


Kita menjadi lemah dan melemahkan orang sekeliliing kerana percaya kepada keadaan yang negatif. Mukmin itu yakin. Dia merasa manis. Dia penuh kasih-sayang. Kerana dia telah tahu. Dia tidak banyak berbicara tentang keburukan melainkan dengan begitu teliti dan teratur. Lidahnya terjaga dan doanya penuh makna. Orang yang berbicara dengannya tiba-tiba akan penuh harapan pada Tuhan.

Abu Hayyan al-Aydrus


Air mata juga tidak semestinya menceritakan kesedihan. Adakalanya ia seakan-akan titisan air yang menanggung kerinduan yang mendalam untuk bergelora dan berirama dengan harmoni di lautan luas, mengingatkan diri tentang keluasan dan irama samudera ilmu.
'AZAB

air mala
bauran darah dan nanah
direguk juga dengan payah
melepaskan dahaga yang semakin parah
datang pula kepadanya
maut dari setiap penjuru
namun tidaklah juga dia mati
sedang dari belakangnya
azab berat sedang menanti


9 september 2013

Sabtu, 18 Oktober 2014

SINGA APA ENGKU INI!!!


Engkau ini, singa apa?
Hidup aman di kandang sekangkang
Pagi petang diberi makan
Daging beku disukat ditimbang
Dihidang sepotong di atas dulang
Lazat amat engkau menelan
Terengah-engah engkau kekenyangan
Berdengkur engkau digua buatan


Engkau ini, singa apa?
Setiap purnama diundang ke gelanggang
Masuk gelanggang jalan berlenggang
Berlenggang-lenggok di atas palang
Surai ngerbang engkau ombak-ombakan
Ekor bengkok engkau jegkit-jengkitkan
Taring tumpul engkau seingai-seringaikan


Mendengar bunyi lebasan
Melompat engkau menoblos gegelang
Melangkaui api yang sedang berbahang
Lalu berlenggang di sekeliling gelanggang
Surai ngerbang engkau ombak-ombakan
Ekor bengkok engkau kitai-kitaika
Taring tumpul engkau seringai-seringaikan
Pertonton lagak,
‘Akulah Bintang Antara Binatang’

Sementang-mentang aksi gemilang
Mengaum engkau menampakkan rahang
Berasa hebat diri dijulang
Menjadi bintang di dalam gelanggang
Penonton bersorakbertepuk bergendang


Aduhai, engkau ini,
Singa wayang yang mabukkan bintang!!

sh. umamah al-edrus
20 Disember 2013
6:30

Jumaat, 17 Oktober 2014

`AZAB


air mala
bauran darah dan nanah
direguk juga dengan payah
melepaskan dahaga yang semakin parah
datang pula kepadanya
maut dari setiap penjuru
namun tidaklah juga dia mati
sedang dari belakangnya
azab berat sedang menanti



9 september 2013
sh. umamah al-edrus