Rabu, 12 November 2014

HAMKA


Hidup laksana batu karang di hujung pulau. Betapa besarnya gelombang menimpakan dirinya atas batu karang itu, namun segala zat yang timpakannya hanyalah menambah teguh pendiriannya itu.

Abu Hayyan al-Aydrus



Kata-kata itu ialah cahaya
Seumpama jendela memandang dunia
Kecil bingkainya hilanglah seribu warna
Tepat letaknya hadirlah sejuta rahsia
Dan silir-semilir haruman puspa
Mengalunkan jodoh idaman bujangga
Ilham episod cinta leluhur cendikia

Isnin, 10 November 2014

NUR ATAS NUR


Bilakah mata hati ini dapat melihat Nur itu? Hati yang masih diperbudak benda, hati yang masih memandang bahawa hidup itu hanya sekadar makan dan minum juga melahirkan anak, hati yang masih memandang bahawa kemuliaan dan penilaian hidup hanyalah semata-mata pada rumah yang indah, kenderaan model paling baharu dan hati yang belum pernah terlepas daripada penggembelingan derita, payah akan sampai kepada suasana melihat Nur itu.

Lalui dahulu penderitaan, percubaan. Lalui dahulu ombak dan gelombang, tahan ketika terkena pukulan sehingga seluruh keperibadian menjadi tabah, digembeling dan ditempa oleh perasaian dan lulus daripada gembeling itu. Itulah yang ada harapan melihat Nur itu.

Tafsir Al-Azhar- Hamka

Isnin, 3 November 2014

Abu Hayyan al-Aydrus



Suatu hari aku hadir awal di pustaka kecil kami dan duduk memandang karya-karya silam ini.

"Kami gelandangan," bunyi sayu mengisi ruang.

"Apa maksud kalian? Bukankah buku-buku ini menjadi rumah kalian?"


"Gelandangan dengan makna tersendiri. Jiwa ilmu itu rumahnya di dalam dada, wahai insan. Bukan di dalam helaian kertas atau lembaran usang ini."

"Kalian terlalu indah. Barangkali terlalu sakit dada manusia untuk menampung kalian."

"Maka seharusnya sebahagian manusia itu kuat dan tabah untuk menanggung kasih ini. Jika tidak, manusia akan bergelandangan. Pernahkah engkau membina rumah tanpa kekuatan? Yang tiada rumah untuk dirinya atau yang rumah dadanya sunyi menagih kasih yang kami bawa. Yang yatim terputus hubungan dengan ibu bapa atau yang terputus silsilah didikan yang mengasuh jiwa. Yang miskin tiada sakinah pada raga atau yang miskin tiada sakinah pada jiwa. Jika manusia memandang ke sana, pandanglah ke sini. Berikan jiwa kami rumah dalam dada manusia. Jika manusia memandang ke sini, pandanglah ke sana. Serikan rumah, didikan dan sakinah untuk mereka."

"Ke sini, ke sana, ke sini, ke sana ... kalian mengajar aku bertawaf? Aku sudah rindukan negeri itu."

"Apa yang engkau temui dalam tawaf engkau?"

"Semua teman aku tahu... Semua teman aku tahu... Hari berganti, masa berlalu. Walaupun sebahagian manusia jauh dari medan tawaf itu, mereka tahu ke mana mereka menuju. Walaupun baginda berhijrah meninggalkan medan itu, baginda kembali menanda-dirikan umat yang satu..."

Abu Hayyan al-Aydrus



Bahasa Arab, ada dua; yang dipelajari dan yang diĘżalami. Yang diĘżalami itu lebih dalam daripada yang dipelajari kerana ia seumpama menjiwai. Karya-karya ini seakan-akan mempunyai jiwa yang harus kita hayati.

Khamis, 30 Oktober 2014

Abu Hayyan al-Aydrus



Solat bersama masyarakat itu diangkat kedudukannya berbanding solat bersendirian. Segala riwayat dan perbahasan telah tersusun panjang dalam buku-buku warisan. Biar sesiapa sahaja yang masuk ke rumah ini dapat merasai kehidupan sebagai anggota masyarakat. Kemesraan berkawan dan halusnya kepedulian, kematangan bicara, makna kebajikan, kelapangan akal dan jiwa, dan segala kebaikan dan adab kemasyarakatan yang lain, kita cuba hadirkan di rumah ini. Usah putuskan persaudaraan antara sendi dan kata nama, antara kata kerja dan objek yang menadah ertinya, antara bahasa dan budi, antara raga dan jiwa, antara intelek dan kehambaan, antara wibawa dan pergantungan, dan segala antara yang dikelirukan oleh kesendirian atau keantaraan di atas kertas. Biar rumah kita terkunci, jiwa kita jangan terkunci daripada segala antara dan saudara yang kita perlukan dalam kehidupan ini. Solat bersama dan budaya kemasyarakatan tinggi, dua yang saling memerlukan. Tanpa salah satu, makna pasangannya menjadi hambar. Tandakanlah 'antara' ini.

Selasa, 28 Oktober 2014

Abu Hayyan al-Aydrus


santun memimpin tangan, 
pintar mengolah pengalaman,
tunduk dalam kemuliaan,
segar saat kejerihan,
tegar memburu kejayaan,
tenteram dengan ketentuan.