Khamis, 13 November 2014

HAMKA


Berani memberikan pelajaran tentang hidup, pada hal dia sendiri tidak berani masuk ke dalam gelanggang hidup.

Rabu, 12 November 2014

HAMKA



Sikapnya angin-anginan. Kalau datang orang memuji-mujinya setinggi langit, kembang kempislah hidungnya kerana girang. Apa yang diminta kepadanya ketika itu akan dapat saja. Akan tetapi kalau hatinya sudah benci, mukanya berubah sekali. Kekusutan perasaan dan hawanya itu membayang kepada mukanya. Apabila dia marah, dirinya tidak dapat dikendalikannya. Dia tidak dapat menguasai dirinya sebab hawanya menjadi tuhannya.

HAMKA


Hidup laksana batu karang di hujung pulau. Betapa besarnya gelombang menimpakan dirinya atas batu karang itu, namun segala zat yang timpakannya hanyalah menambah teguh pendiriannya itu.

Abu Hayyan al-Aydrus



Kata-kata itu ialah cahaya
Seumpama jendela memandang dunia
Kecil bingkainya hilanglah seribu warna
Tepat letaknya hadirlah sejuta rahsia
Dan silir-semilir haruman puspa
Mengalunkan jodoh idaman bujangga
Ilham episod cinta leluhur cendikia

Isnin, 10 November 2014

NUR ATAS NUR


Bilakah mata hati ini dapat melihat Nur itu? Hati yang masih diperbudak benda, hati yang masih memandang bahawa hidup itu hanya sekadar makan dan minum juga melahirkan anak, hati yang masih memandang bahawa kemuliaan dan penilaian hidup hanyalah semata-mata pada rumah yang indah, kenderaan model paling baharu dan hati yang belum pernah terlepas daripada penggembelingan derita, payah akan sampai kepada suasana melihat Nur itu.

Lalui dahulu penderitaan, percubaan. Lalui dahulu ombak dan gelombang, tahan ketika terkena pukulan sehingga seluruh keperibadian menjadi tabah, digembeling dan ditempa oleh perasaian dan lulus daripada gembeling itu. Itulah yang ada harapan melihat Nur itu.

Tafsir Al-Azhar- Hamka

Isnin, 3 November 2014

Abu Hayyan al-Aydrus



Suatu hari aku hadir awal di pustaka kecil kami dan duduk memandang karya-karya silam ini.

"Kami gelandangan," bunyi sayu mengisi ruang.

"Apa maksud kalian? Bukankah buku-buku ini menjadi rumah kalian?"


"Gelandangan dengan makna tersendiri. Jiwa ilmu itu rumahnya di dalam dada, wahai insan. Bukan di dalam helaian kertas atau lembaran usang ini."

"Kalian terlalu indah. Barangkali terlalu sakit dada manusia untuk menampung kalian."

"Maka seharusnya sebahagian manusia itu kuat dan tabah untuk menanggung kasih ini. Jika tidak, manusia akan bergelandangan. Pernahkah engkau membina rumah tanpa kekuatan? Yang tiada rumah untuk dirinya atau yang rumah dadanya sunyi menagih kasih yang kami bawa. Yang yatim terputus hubungan dengan ibu bapa atau yang terputus silsilah didikan yang mengasuh jiwa. Yang miskin tiada sakinah pada raga atau yang miskin tiada sakinah pada jiwa. Jika manusia memandang ke sana, pandanglah ke sini. Berikan jiwa kami rumah dalam dada manusia. Jika manusia memandang ke sini, pandanglah ke sana. Serikan rumah, didikan dan sakinah untuk mereka."

"Ke sini, ke sana, ke sini, ke sana ... kalian mengajar aku bertawaf? Aku sudah rindukan negeri itu."

"Apa yang engkau temui dalam tawaf engkau?"

"Semua teman aku tahu... Semua teman aku tahu... Hari berganti, masa berlalu. Walaupun sebahagian manusia jauh dari medan tawaf itu, mereka tahu ke mana mereka menuju. Walaupun baginda berhijrah meninggalkan medan itu, baginda kembali menanda-dirikan umat yang satu..."

Abu Hayyan al-Aydrus



Bahasa Arab, ada dua; yang dipelajari dan yang diĘżalami. Yang diĘżalami itu lebih dalam daripada yang dipelajari kerana ia seumpama menjiwai. Karya-karya ini seakan-akan mempunyai jiwa yang harus kita hayati.