Khamis, 20 November 2014

HAMKA



Dalam dirimu ternyata sekarang bahawa benda yang bernama mata hanyalah alamat sahaja daripada adanya nurani yang kudus dalam dirimu. Dan alam sekeliling yang kelihatan oleh matamu itu hanyalah petanda saja, hanyalah ayat sahaja daripada hakikat yang sebenarnya. Hakikat yang sebenarnya itu bersifat Kasih dan Murah. Itulah dia Allah. Itulah Dia, Ar-Rahman.

..............HAMKA : tafsir al-Azhar................

HAMKA



Dalam diri manusia  itu selalu terjadi pertentangan antara cita-cita yang tinggi dengan hawa nafsu, angkara dengan murka. Sudah terang apabila hawa nafsu dan angkara murka itu tidak terkendali, iman akan hancur ke dalam kehancuran dan darjatnya akan jatuh menjadi binatang. Sudah nyata bahawa hidupnya akan kusut dan masyarakatnya kacau-bilau, yang kuat menindas yang lemah dan yang kuasa menekan yang tidak berkuasa, pada hal makhluk yang ditindas itu manusia juga, mempunyai nilai-nilai kemanusian yang dapat dipergunakan menghasilkan rahsia Tuhan dalam alam.

.............HAMKA : tafsir al-Azhar............

HAMKA




Cuba lihat  ke langit pada waktu malam. Engkau rasakan kedamaian hatimu kerana melihat bintang beribu-ribu. Engkau rasakan kedamaian hatimu melihat bintang sejak sabitnya sampai purnamanya dan sampai dia susut kembali. Engkau rasakanlah keindahan fajar sehingga matahari naik. Engkau rasakanlah kesegaran warna lembayung  kala pagi. Engkau rasakanlah mega berarak kala waktu sore. Engkau rasakanlah ombak membanting dirinya ke pantai beribu-ribu tahun.


Sekarang engkau simpulkan apakah yang engkau lihat dalam hidupmu? Insan yang kecil di tengah alam yang besar?


Aku melihat kebesaran.

Matamukah yang melihat, ataukah penglihatan yang lebih dalam berbanding mata?

Aku melihat dengan penglihatan yang lebih dalam berbanding mata.

Sudahkan engkau percaya sekarang bahawa di sebalik matamu ini ada penglihatan lain? Di sebalik jasmanimu ada hakikat yang sebenarnya, iaitu rohanimu? Akalmu, fikiranmu dan rasamu? 

Sekarang aku sudah percaya.


Dengan hati nuranimu engkau melihat pula YANG SEBENARNYA ADA. Penglihatan hatimu telah melampaui apa-apa yang terlihat oleh matamu. Tinggal sekarang matamu hanya semata alat penyambung daripada hatimu.


............HAMKA : tafsir al-Azhar.........

Selasa, 18 November 2014

HAMKA



Mencari diri sendiri itu adalah pekerjaan yang terhitung sukar dalam alam ini. Akan tetapi apabila kita telah mengenal tugas kita, kita pun mencapai ketenteraman yang kita cari. Kita pun tidak hilang pegangan lagi.

................tafsir al-Azhar.................

HAMKA



Sedarkan engkau betapa pentingnya bayang-bayang dan keteduhan untuk hidupmu? Bukankah dalam perjalanan musafir yang jauh, apabila bertemu sebuah wadi yang banyak kayu-kayuan, kamu pun berteduh ke tempat itu untuk melepaskan lelah? Sedarkah engkau bahawa engkau sendiri pun khaimah untuk mencari keteduhan? Bahkan engkau mendirikan rumah untuk berteduh. Dengan bayang-bayang dan keteduhan engkau memulihkan kembali kekuatan yang telah hilang kerana teriknya panas.Dan matahari ialah dalil petanda satu-satunya daripada kejadian itu.
....................Tafsir al-Azhar..............

HAMKA



Maka orang-orang yang sudi membaca al-Quran dengan saksama  dan faham akan keindahan bahasanya kerana bahasa al-Quran memang bahasa wahyu, maka merasailah betapa menaik, mendatar dan menurunnya gelora ombak ancaman dan pujukan Ilahi. Sejak daripada ancaman siksa neraka sampai kepada ajakan berfikir. Di situlah rahsia ajaran agama Islam yang sejati. Isinya ialah imbangan antara rayuan dan ancaman, kemurkaan diiringi kasih sayang, azab siksa dan persedian memberi ampun. Oleh sebab itu maka dalam hati seseorang mukmin terasalah raghaban (pengharapan) dan rahaban (kecemasan) atau khauf (rasa takut) atau rajaa (kerinduan)

..........Tafsir al-Azhar...............

Jumaat, 14 November 2014

Khairil Anwar


Sebuah Kamar

Sebuah jendela menyerahkan kamar ini
pada dunia. Bulan yang menyinar ke dalam
mau lebih banyak tahu.
“Sudah lima anak bernyawa di sini,
Aku salah satu!”

Ibuku tertidur dalam tersedu,
Keramaian penjara sepi selalu,
Bapakku sendiri terbaring jemu
Matanya menatap orang tersalib di batu!

Sekeliling dunia bunuh diri!
Aku minta adik lagi pada
Ibu dan bapakku, karena mereka berada
d luar hitungan: Kamar begini
3 x 4, terlalu sempit buat meniup nyawa!