Sabtu, 12 Oktober 2013

Al-HIJR : BATU GUNUNG Juzuk 14 : Surah 15




Al-HIJR
BATU GUNUNG
Juzuk 14 : Surah 15



                  Al Hijr adalah nama dari surat ini. Erti yang asal adalah ‘Batu Besar’ atau ‘Batu Gunung’. Turut menjadi nama daripada negeri kediaman kaum Thamud yang didatangi oleh Nabi Saleh, satu antara nabi-nabi yang dibangkitkan dalam kalangan bangsa Arab. Nabi-nabi daripada arabi ialah Nabi Hud, Nabi Saleh, dan Nabi Muhammad. Di hitung juga nabi arabi, Nabi Ismail sebab dia diutus kepada Bani Jurhum yang datang daripada bangsa Arab.


                         Disebut tempat kaum Thamud itu dengan al-Hijr kerana negeri mereka terdiri daripada lembah-lembah dan gunung-gunung batu. Mereka mempunyai kepintaran membangun rumah-rumah dan gedung-gedung yang indah megah yang dapat mempertalikan bukit-bukit dengan lembah dan dapat memahat batu-batu gunung itu untuk bangunan. Kisah mereka tersebut dalam surat ini dari ayat 80-ayat 84.



                    Pada surat yang terdiri daripada 99 ayat ini, kita mendapati betapa hebat tentangan kaum Quraisy terhadap ajaran Islam dan sangat kasar sikap permusuhan mereka. Dan bagaimana pula dengan tangkasnya Nabi Muhammad salLahu alayhi wassalam mengemukakan dalil-dalil ajaran Tuhan dan mengambil juga perbandingan kepada kaum-kaum yang telah binasa kerana menentang Nabi-Nabi dan Rasul-rasul mereka.


              Pada surat ini pun dikisahkan kembali tentang pertentangan manusia pertama Adam dengan iblis dan betapa iblis diberi kesempatan melakukan tipu dayanya kepada Insan dan Tuhan memberi ingat kepada iblis bahawa hamba-hamba Tuhan yang ikhlas tidaklah akan dapat dikuasainya sehingga meninggalkan kesan dalam jiwa bahawa sanya keselamatan kita hanya akan terjamin apabila mengabdikan diri kepada Allah dengan sungguh-sungguh pengabdian.

                       Menurut kebiasaan, juzu’ ini sebagai juzu` ke 14 daripada al-Quran dimulai pada ayat yang kedua.Yang pertama adalah akhir daripada juzu’ yang ketiga belas. Ini disebabkan pada zaman dahulu al-Quran telah dibahagi-bahagi menjadi 30 juzu’, menilik beberapa helainya iaitu lapan helai untuk satu juzu’ dengan tidak menilik kepada permulaan surat agar mudah orang membacanya di dalam masjid, kerana amat berat mushhaf yang ditulis dengan tangan diangkat orang.. Dari sinilah asalnya al-Quran 30 juzu’ itu. Dan itulah sebab maka juzu’ 14 dimulai pada ayat 2 dan ayatnya yang pertama masuk pada juzu’ ke 13.

                   
Namun apabila al-Quran mula ditafsirkan tidaklah kita berpegang lagi kepada hitungan juzu’ , apatah lagi khusus bagi juzu’ ke 14 ini yang ketinggalan satu ayatnya pada juzu’ sebelumnya. . Oleh sebab itu dalam penafsiran juzu’ ke 14 ini, ayatnya yang pertama kita ambil daripada hujung juzu’ ke 13 dan kita letakkan sebagai yang mual-mula ditafsirkan pada juzu’ yang ke 14. Sebagaimana kita lakukan pada tafsir juzu’ ke 12, Surah Hud juga adanya.

Selasa, 8 Oktober 2013

SURAT UNTUK ADAM

Surat untuk Adam.

          Apakah kata-kata yang paling baik untuk diungkapkan kepada kalian wahai Adam? Apabila kalian secara jujur dan beradab, dengan santun dan cara yang terhormat memetik sekuntum bunga daripada pemiliknya, lalu dengan rasa tanggungjawab menghulur tangan menggenggam erat dan melafaz ijab dan qabul. Suara gementar , tubuh terketar dan peluh bermanik-manik, lalu dengan lafaz ijab dan qabul, kalian wahai Adam telah mengangkat darjat seorang perempuan daripada status seorang gadis kepada status seorang isteri. Kemudian perempuan itu, yang telah kalian petik dengan adab dan santun telah dengan tulus hati merelakan dan mengikhlaskan diri sebagai ladang untuk disemai benih sehingga lahirnya zuriat yang berdarjat, bakal mewarisi keturunan mulia zaman berzaman. Ah, lafaz ijab dan qabul itu sesungguhnya adalah satu panahan dan libasan api kepada iblis laknatulLah!

                 Tahukah kalian wahai Adam? Iblis itu terus berguling-guling kepanasan lantaran kecewa dan kecundang apabila daripada kalian wahai Adam, pendukung kalimah tayibbah membisikkan ‘La iLaha ill AlLah, Muhammad Rasulullah’, menabuh gegendang telinga tetamu baharu sebaik sahaja terdampar keluar daripada seorang rahim seorang perempuan yang telah kalian petik dengan santun dan beradab.Melahirkan zuriat yang diangkat Tuhan sebagai khalifah sehingga menimbulkan rasa dengki dan sakit hati iblis laknatulLah. Laknat Tuhan terhadapnya telah menyebabkan dia berikrar akan menggelincirkankan kita dan zuriat kita daripada landasan sirat`al mustaqim.

                Wahai Adam! Ini bererti perjuangan kita untuk menikmati narwastu Jannatul Naim bersama-sama tidak akan akan berakhir selama nadi masih terus berdenyut. Kita mesti saling mengikat dan saling memperingat supaya tidak tergelincir seperti mana datuk kita Adam rahimahulLah pernah tergelincir atas kealpaannya. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Pengampun. Namun kita jangan sekali-kali membenarkan iblis laknatulLah terus menyelusup di celah-celah setiap helaan nafas bahkan pada setiap titik lubang rongga sebesar zarah sekali pun pada tubuh kita.

                     Ayuh Adam! Kita bersama-sama meniti quranal arabia pada setiap detik dan kita larutkan dalam setiap diri anak-anak kita Adam. Kita hayati bersama-sama ayat-ayat yang merentas alam . Ingatlah Adam! Di sana sudah menanti jannatin a’liyah, ‘ainun jariyah, sururum marfu’ah. Piala-piala minuman sudah sedia terhidang dengan bantal-bantal yang siap teratur dan hamparan-hamparan yang terbentang. 

                     Ayuh Adam! Kita bina rumah yang abadi di sana. Andainya isteri Fir`aun, Asiah meminta sebuah rumah di syurga lantaran kesabarannya dizalimi suaminya yang kufur dan angkuh, maka alangkah indahnya andainya isterimu Adam, meminta sebuah rumah di syurga lantaran kamu memimpinnya merendah diri lalu sujud meyembah kepada ke Agungan-Nya.

                      Terima kasih wahai Adam! Jiwa santun dan beradab tuan menjadikan kami perempuan yang mempunya harga diri. Lafaz ijab dan qabul kalian Adam telah mengangkat darjat kami sebagai bidadari. Di sana syurga sudah menanti. Sesungguhnya Tuhan tidak pernah memungkiri janji!

sh. umamah sy. abdullah al-edrus 
Kuala Lumpur. 
25 hb. Ogos 2013

Isnin, 7 Oktober 2013

RANGKAIAN MADAH RENUNGAN 3

 RANGKAIAN MADAH RENUNGAN 3

Kata-kata lebih tajam daripada sebilah pedang. 
Kata-kata yang buruk melemahkan jiwa .
Kata-kata yang cantik menjentik perasaan. 
Kata-kata yang dilontarkan mudah terpahat pada sanubari manusia. 

Berkatalah dengan ungkapan yang cantik kerana kata-kata yang cantik akan sentiasa diingati dan sentiasa menghidupkan kebaikan

Abu Hayyan al-Aydrus


Lipatlah perjalanan itu dengan mendampingi mereka yang mengingatkanmu tentang negerimu di sana. Lipatlah lisan diri daripada yang tidak penting, yang tidak perlu atau yang tidak bermanfaat untuk kehidupan ini. Lipatlah perasaan-perasaan hati pada waktunya kerana ia  bekalan terindah memahami saat lebur dan saat siaga.

RANGKAIAN MADAH RENUNGAN 1

RANGKAIAN MADAH RENUNGAN 1

Usahlah masghul.Kelak nanti bumi akan bersaksi dan meluah bangga , hingga tibanya nanti saat tuhaddithu akhbaraha. Di merata dunia akan terbenih ulul albab asal sahaja ummat tidak pernah berhenti bertempur dalam medan memburu 'ilm lalu bertadabbur dengan kerendahan hati. 

Bertindaklah dengan santun. Kalam Agung tidak kabur malah tidak akan berkubur sebagaimana Ka`abah masih tetap teguh meskipun pernah cuba dilebur. Alam ini milik-Nya dan dalam peliharaan-Nya dan Dia tidak pernah memungkiri janji pada hamba-Nya yang tunduk dalam ketaatan-Nya dan sentiasalah kita bertafakkur agar iman terlarut dalam jiwa yang subur.

Ahad, 6 Oktober 2013

PERMAIDANI DAN SEJADAH

PERMAIDANI DAN SEJADAH

Satu perkara yang menyebabkan kita menggelengkan kepala kerana berfikir adalah permaidani dan sejadah. Dan juga pantelon (seluar panjang berkaki lebar yang berkedut di pergelangan kaki) dan kain sarung. Apabila tiba waktu maghib, mohon dicarikan sejadah, begitu payah tuan rumahnya mencarikan,barulah bertemu sejadah , itu pun sudah lusuh. Tidak ada niat untuk menggantikan yang baru sedangkan harga sejadah beberapa sen cuma berbanding permaidani yang beratus ringgit.

Dan ada pula orang yang kain sarungnya buat solat hanya sehelai dan keluarnya hanya ketika kematian. Sedang pantelonnya mahal sampai berkodi. Dan yang perempuan, batik Solonya sepuluh almari dan kain sembahyangnya pelikat bekas suaminya. Akan tetapi kalau ada kematian di dalam rumah, yang begini hampir semuanya khusyuk dan tafakkur nampaknya, sehingga apa yang diperintah wak Lebai diaturnya, walau pun yang sekali-kali bukan agama. Sayang, orang hanya hendak berhubung dengan Tuhan hanya ketika terdesak sedang Tuhan terus menjagainya dan tidak melupakannya.


HAMKA.

Ahad, 29 September 2013

ANJING SALAK BUKIT

ANJING SALAK BUKIT


Berlari-lari dia, mundar-mandir. Berlari-lari di kaki bukit yang sedang duduk diam-diam. Lidah terjelir-jelir dengan liur yang menitik-nitik. Kemudian dia berdiri menghadap bukit. Ekor terkitai-kitai. Kepala menyundak langit. Lalu dia menyalak. Memantul-mantul salakannya. Kemudian dia diam. Kemudian dia menyalak lagi. Memantul lagi salakannya itu . Kemudian dia diam lagi. Matanya memerhati . Kupingnya tajam tegak berdiri. Bunyi salakan berbalik semula menghentam gegengang telinganya. Kemudian alam kembali sepi!

                       Geram dan marah. Perasaan tidak puas hati menakluk diri. Dia berlari-lari lagi. Mundar-mandir. Menyalak berkali-kali, melengking-lengking dan berdesing-desing. Melengking dan berdesing seperti besi diketuk penukul yang berdenting-denting. . Ekor terkitai-kitai . Dia benar-benar marah.

                    Harapannya salakan itu akan dapat meretakkan dan merobohkan bukit itu lalu berkecai menjadi serpihan-serpihan debu. Namun bukit itu tetap tegak di situ. Diam membatu. Salaklah semahu-mahu . Namun bukit itu sedikit pun tidak tersentuh oleh salakannya yang melengking-lengking.

                         Melihat bukit yang duduk tenang-tenang, semakin kuat dia menyalak. Memanggung kepala tinggi-tinggi supaya nanti lengkingannya melantun jauh menggegarkan bukit itu. Lidah semakin panjang terjelir dan semakin banyak pula liur yang meleleh-leleh. Dia kemudian diam sebentar. Ekornya mengitai lagi. Kupingnya nipis -runcing tajam tegak berdiri . Semakin sakit hatinya melihat bukit itu. Bergoncang pun tidak. Bergegar pun tidak .Lalu dia berlari lagi, tidak keruan dengan salakan yang semakin menjadi-jadi.

                                Sakit hatinya bukan kepalang. Di hadapan bukit dia berdiri lagi. Duduk melunjurkan kaki sambil lidah terjelir-jelir menitikkan liur. Matanya nyalang melihat bukit yang tenang bersendiri. Lalu dia berdiri. Ekornya semakin kuat mengitai. Menguak mulutnya lebar-lebar sehingga menampakkan bilah-bilah taringnya yang runcing-runcing. Berderum-deram getaran suaranya melepasi gigi-gigi taringnya. Mengumpulkan tenaga lalu dia berlari sekencang-kencangnya memanjat bukit. Mengharapkan bukit itu akan rebah dengan serangannya yang sekencang itu.

                                  Ah, terkial-kial dan terlelah-lelah pula dia terpaksa memanjat! Beban badannya sendiri tidak mampu dia pikul mendaki bukit yang cerun meninggi.

                           Bukit itu tetap diam. Tetap pegun. Melarikan diri pun tidak . Berasa resah dan gundah pun tidak . Apatah lagi rasa tergugat. Salaklah dan terkamlah. Cakarlah susuk agamnya. Dia tetap tegak terpasak kukuh di tempat duduknya.

                     Semakin dia cuba mendaki semakin berat dirinya dia terasa. Berusaha keras namun akhirnya kecundang juga. Justeru tergolek-golek dia berdebup jatuh di kaki bukit. Terasa sakit lantaran tercucuk sianggik, rumput jalang yang berceracak menikam-menikam dirinya.

                    Semakin sakit hatinya. Tergila-gila jadinya. Haru-biru dia berlari-lari ke sana dan berlari-lari ke mari dengan badannya yang calar terluka . Menyalak dan menyalak lagi dengan hati yang amat berapi-api. Lidah terjelir-jelir. Liur menitik-nitik. Mahu mendaki mencakar-cakar susuk si bukit takut pula tergolek lagi.

                       Jadilah dia anjing gila menyalak-nyalak tanpa henti. Lantaran terlalu kuatnya dia menyalak dan terlalu banyak liur yang menitik, akhirnya dia tumbang ke bumi . Jatuh tumbang mungkin pengsan atau mungkin sahaja mati akibat bodohnya diri, menyalak berapi-api bukit yang tetap tenang memerhati. Begitulah makhluk Tuhan yang bernama anjing . Dijadikan perumpamaan dalam firman-Nya. Jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah.



                   Maka ceritakanlah kisah-kisah ini supaya menjadi orang yang berfikir.

sh. umamah sy. abdullah al-edrus
30 Jun 2013
22.44