Isnin, 3 November 2014

Abu Hayyan al-Aydrus



Suatu hari aku hadir awal di pustaka kecil kami dan duduk memandang karya-karya silam ini.

"Kami gelandangan," bunyi sayu mengisi ruang.

"Apa maksud kalian? Bukankah buku-buku ini menjadi rumah kalian?"


"Gelandangan dengan makna tersendiri. Jiwa ilmu itu rumahnya di dalam dada, wahai insan. Bukan di dalam helaian kertas atau lembaran usang ini."

"Kalian terlalu indah. Barangkali terlalu sakit dada manusia untuk menampung kalian."

"Maka seharusnya sebahagian manusia itu kuat dan tabah untuk menanggung kasih ini. Jika tidak, manusia akan bergelandangan. Pernahkah engkau membina rumah tanpa kekuatan? Yang tiada rumah untuk dirinya atau yang rumah dadanya sunyi menagih kasih yang kami bawa. Yang yatim terputus hubungan dengan ibu bapa atau yang terputus silsilah didikan yang mengasuh jiwa. Yang miskin tiada sakinah pada raga atau yang miskin tiada sakinah pada jiwa. Jika manusia memandang ke sana, pandanglah ke sini. Berikan jiwa kami rumah dalam dada manusia. Jika manusia memandang ke sini, pandanglah ke sana. Serikan rumah, didikan dan sakinah untuk mereka."

"Ke sini, ke sana, ke sini, ke sana ... kalian mengajar aku bertawaf? Aku sudah rindukan negeri itu."

"Apa yang engkau temui dalam tawaf engkau?"

"Semua teman aku tahu... Semua teman aku tahu... Hari berganti, masa berlalu. Walaupun sebahagian manusia jauh dari medan tawaf itu, mereka tahu ke mana mereka menuju. Walaupun baginda berhijrah meninggalkan medan itu, baginda kembali menanda-dirikan umat yang satu..."

Abu Hayyan al-Aydrus



Bahasa Arab, ada dua; yang dipelajari dan yang diʿalami. Yang diʿalami itu lebih dalam daripada yang dipelajari kerana ia seumpama menjiwai. Karya-karya ini seakan-akan mempunyai jiwa yang harus kita hayati.

Khamis, 30 Oktober 2014

Abu Hayyan al-Aydrus



Solat bersama masyarakat itu diangkat kedudukannya berbanding solat bersendirian. Segala riwayat dan perbahasan telah tersusun panjang dalam buku-buku warisan. Biar sesiapa sahaja yang masuk ke rumah ini dapat merasai kehidupan sebagai anggota masyarakat. Kemesraan berkawan dan halusnya kepedulian, kematangan bicara, makna kebajikan, kelapangan akal dan jiwa, dan segala kebaikan dan adab kemasyarakatan yang lain, kita cuba hadirkan di rumah ini. Usah putuskan persaudaraan antara sendi dan kata nama, antara kata kerja dan objek yang menadah ertinya, antara bahasa dan budi, antara raga dan jiwa, antara intelek dan kehambaan, antara wibawa dan pergantungan, dan segala antara yang dikelirukan oleh kesendirian atau keantaraan di atas kertas. Biar rumah kita terkunci, jiwa kita jangan terkunci daripada segala antara dan saudara yang kita perlukan dalam kehidupan ini. Solat bersama dan budaya kemasyarakatan tinggi, dua yang saling memerlukan. Tanpa salah satu, makna pasangannya menjadi hambar. Tandakanlah 'antara' ini.

Selasa, 28 Oktober 2014

Abu Hayyan al-Aydrus


santun memimpin tangan, 
pintar mengolah pengalaman,
tunduk dalam kemuliaan,
segar saat kejerihan,
tegar memburu kejayaan,
tenteram dengan ketentuan.

Khamis, 23 Oktober 2014

Abu Hayyan al-Aydrus



Jika seseorang itu membicarakan hal-hal kebaikan dengan irama hati yang tidak sewajarnya, apabila tiba masa ujian kata-kata terhadap diri sendiri, mungkin boleh terjerumus ke lembah kegelinciran yang tidak diingini walaupun di tempat dan situasi yang berbeza. Sesetengah ayat dan perkataan barangkali mendatangkan cabaran yang besar terhadap diri sendiri pada saat ujian, lantas apa yang dimiliki terdedah pada kehilangan. Lantaran itulah, para ahli maʿrifah berpesan tentang mengawasi perasaan diri dan kejujurannya apabila membicarakan hal-hal kebaikan. Sesungguhnya lisan boleh menyuluh atau menghijab cahaya terhadap diri. Semoga Allah memelihara kita dalam kebaikan.

Abu Hayyan al-Aydrus



Masa berlalu bersama perubahan-perubahan dalam kehidupan insan. Seorang insan yang mengakui keimanan sudah tentu tidak mahu perubahan yang tidak menambahkan kebaikan. Diusahakannya membicarakan yang benar dan sesuai, mudah-mudahan diperbaik oleh Allah pekerjaan dan perbuatan dirinya. Namun diingatkan dirinya juga bahawa bicara kebaikan seseorang insan itu akan selalu diuji terhadap dirinya sendiri. Ayat al-Qurʾān membekalkan soalan ‘adakah manusia menyangka bahawa mereka ditinggalkan untuk mengatakan kami mengakui (keimanan) sedangkan mereka tidak diperiksa (kejujurannya)?

Abu Hayyan al-Aydrus




Hati tidak boleh memerhati kecuali dengan ilmu. Saya tidak tahu apa lagi yang lebih indah daripada ilmu yang mendekatkan diri kepada Allah. Seorang ilmuwan terdahulu pernah berkata : Seseorang tidak mungkin menjaga kejujuran hatinya dengan Allah selama empat puluh hari melainkan akan terbit hikmah kebijaksanaan di atas lidahnya.


Lidah dan kata-kata adalah sukar untuk dijaga sehingga tepat apatah lagi ketika bergurau. Tapi itulah watak al-ṣiddīqūn. Mereka yang cuba menjadi siddiq (jujur & tepat dalam segala-galanya termasuk kata-kata gurauan) sehingga tertulis sebagai al-siddiq di sisi Allah. Ini berbeza daripada apa yang psikologi moden sebut sebagai perfectionist kerana siddiq adalah dengan ilmu dan kurniaan Allah. Alangkah indahnya mereka kerana bersama para anbiya.

Mata, jika bukan kerana ia jalan ilmu mendekatkan diri kepada Allah, apalah keindahan yang dapat diberikan oleh mata melainkan keresahan jiwa kerana terpukau akan dunia. Kita ini tidak lama di sini...