Khamis, 27 November 2014

HILANG




Langit rencam yang tersembunyi kebelauannya dibentengi shafaq yang perlahan-lahan mempertalikan malam tanda hari silih berganti bagaikan layar sebeng yang sentiasa terselak luas, menjadi saksi kepada perjalanan silam dan menyaksikan segala yang hilang!




MARKISA


Keharuan melanda. Melihat tanda-tanda. Itulah ayat-ayat. Pada setiap penciptaan yang tercipta. Dari benih, terbit pucuk. Pucuk-pucuk melebar menjadi dedaun nan hijau. Di celahan dedaun memutik bunga-bungaan. Putik bunga terkelopak mempersembahkan keindahan. Warna-warna indah memperhalus perasaan. Merangka bentuk yang beragam-ragam. Menarik perhatian sang hidupan. Bunga mekar kembangnya menawan. Lalu layu namun tidak menghampakan. Melayutkan buah di tangkaian. Untuk dinikmati setiap haiwan dan insan. Alangkah indah ciptaan Tuhan. Itulah tanda itulah ayat. Supaya manusia berfikir dan terus memikirkan. Masihkah mahu sujud atau masihkah mahu menentang?

sharifah umamah al-edrus
27 hb. November 2014






Ahad, 23 November 2014

HAMKA



Dan mereka itu apabila berjalan di hadapan orang yang sedang bercakap kosong, yang tidak tentu hujung pangkal perkataan-perkataan yang tidak bertanggung-jawab, dia pun berlalu sahaja dari tempat itu dengan baik. Dia menjaga agar dirinya jangan masuk terikat dalam suasana yang tidak berfaedah. Usia manusia terlalu singkat untuk dibuang-buang bagi pekerjaan yang tidak berfaedah.


……...HAMKA : tafsir al-Azhar……..

HAMKA



Bagaimanakah dia akan mengangkat muka dengan sombong pada hal alam di kelilingnya menjadi saksi atasnya bahawa dia mesti menundukkan diri? Dia laksana padi yang telah berisi sebab itu dia tunduk. Dia tunduk kepada Tuhan kerana insaf akan kebesaran Tuhan dan dia rendah hati terhadap sesama manusia kerana dia pun insaf bahawa dia tidak akan sanggup hidup sendiri di dalam dunia ini. Dan apabila dia berhadapan, bertegur -sapa dengan orang yang bodoh dan dangkal fikiran, sehingga kebodohannya banyaklah katanya yang tidak keluar daripada cara berfikir yang teratur, tidaklah dia lekas marah tetapi disambutnya dengan baik dan diselenggarakannya. Pertanyaan dijawabnya dengan memuaskan, yang salah dituntunnya sehingga kembali ke jalan yang benar. Orang semacam itu pandai benar menahan hati.




.................HAMKA : tafsir al-Azhar.............




Khamis, 20 November 2014

HAMKA



Apabila zikir dan syukur telah tumbuh dalam hati, mulailah terasa bahawa kehidupan makhluk seluruhnya, termasuk kehidupan kita sendiri tidaklah pernah terlepas daripada kasih sayang dan kemurahan Tuhan. Ke mana sahaja pun mata memandang, Rahman-Ilahi akan jelas nampak. Rahman-Ilahi meliputi segala. Terasa kecil diri di hadapan kebesaran-Nya dan bersedialah kita dengan segala kerelaan hati buat menjadi hamba Tuhan Pemurah itu. Orang-orang yang insaf itulah "Ibadur ar-Rahman".

................HAMKA : tafsir al-Azhar...............

HAMKA



Dalam dirimu ternyata sekarang bahawa benda yang bernama mata hanyalah alamat sahaja daripada adanya nurani yang kudus dalam dirimu. Dan alam sekeliling yang kelihatan oleh matamu itu hanyalah petanda saja, hanyalah ayat sahaja daripada hakikat yang sebenarnya. Hakikat yang sebenarnya itu bersifat Kasih dan Murah. Itulah dia Allah. Itulah Dia, Ar-Rahman.

..............HAMKA : tafsir al-Azhar................

HAMKA



Dalam diri manusia  itu selalu terjadi pertentangan antara cita-cita yang tinggi dengan hawa nafsu, angkara dengan murka. Sudah terang apabila hawa nafsu dan angkara murka itu tidak terkendali, iman akan hancur ke dalam kehancuran dan darjatnya akan jatuh menjadi binatang. Sudah nyata bahawa hidupnya akan kusut dan masyarakatnya kacau-bilau, yang kuat menindas yang lemah dan yang kuasa menekan yang tidak berkuasa, pada hal makhluk yang ditindas itu manusia juga, mempunyai nilai-nilai kemanusian yang dapat dipergunakan menghasilkan rahsia Tuhan dalam alam.

.............HAMKA : tafsir al-Azhar............