TAMAN-TAMAN PUSPA
Pagi mulai berdandan.Matahari dari punggung bumi mulai mengangkat alis matanya, sedikit demi sedikit, memboloskan pandangannya ke setiap penjuru alam. Lantas bumi, bukit-bukau, gunung-ganang dan pepohon hijau bangkit dari tidur yang culas. Daun-daun membuka wajah, membuka mulut lantas menghisap embun dari puting alam. Sementara puspa-puspa membelek muka, menata rias dengan kepelbagaian rona, tersengih-sengih lalu menghamburkan haruman dengan harapan bertemu jodoh untuk meneruskan zuriatnya.
Di celah-celah pepohon dan di gua-gua gunung, unggas dan haiwan melata yang malas menguap-nguap, sambil menahan silau dhuha yang sangat mengganggu ; di dera matahari agar bangkit dari tidur yang lena supaya keluar mencari rezeki. Kerana rezeki yang telah disediakan Tuhan itu tidak akan datang menggolek melainkan mesti berusaha mencari dan berusaha mendapatkannya. Namun sinaran mentari tidak sekuat dan sehebat puspa dalam menggerakkan diri. Haruman puspa, yang sudah cantik berdandan, merias diri dengan warna-warna pesona membuatkan unggas dan haiwan melata segera mencelikkan mata, menghidu haruman semerbak lalu menceceh dengan riuhnya, menari-nari bersama angin penjodoh sambil mengalunkan gurindam rindu. Rindunya bagaikan sepekan tidak bertamu sedangkan baru semalam tidak bertemu.
sh. umamah sy. abdullah al-edrus
7 Julai 2015
Kuala Lumpur.
Khamis, 25 Februari 2016
Isnin, 14 Disember 2015
Rahsia itu berada dalam diri, bukan pada nama yang terukir di atas kertas, atau pada bangunan institusi. Kejujuran bermula dari dalam diri sendiri dan kembali kepada diri sendiri, meskipun usaha yang dilakukan barangkali tidak dihargai atau tidak menepati apa yang diingini oleh semua yang berada di sisi. Kejujuran akan menukar sekeping roti menjadi hidangan istimewa yang membawa kebahagiaan abadi.
Isnin, 7 Disember 2015
Jumaat, 30 Oktober 2015
SEBANDING BIJI SAWI
Hendak mencapai langit
Tangan sejengkal tidak tersampai
Menghentak kaki ke bumi
Terbelah, retak pun tidak
Kalau diri sebanding biji sawi
Jangan mimpi menakluk bumi
Jangankan hidung ditinggikan ke langit
Nyawa sendiri tidak terkendali
Kelak mati pun nanti
Kubur sendiri tidak tergali
20hb. Disember 2013
Selasa, 15 September 2015
GELANDANGAN
Bertilamkan tanah
Beratapkan langit
Berselimutkan embun
Bermandikan hujan
Pakaiannya rabak kusam
Makanannya di tong-tong sampah
Bersama anjing, tikus dan lipas
Mengais sisa-sisa remeh yang dibuang
Di lorong belakang KFC, McD dan NZ Curry House
Buat mengisi tuntutan perut nan kosong
Meski kenyang lapar tak hilang
Minum sejuk haus tak lepas
Namun dia bagaikan puas
Hidupnya menyusur jalan
Lalu langkahnya terhenti di persimpangan
Di situ dia akan berdiri
Buntu, beku dan keliru
Memilih jalan yang hendak dituju
Aku termangu
Bibirku terkunci padu
Kutoleh ke belakang meniti hari-hari nan lalu
Tidak pernah sehari dalam hidupku, aku lapar
Tidak pernah sehari dalam hidupku, aku berembun
Tidak pernah pun sehari dalam hidupku, aku bergelandangan
Lalu setitik airmataku
gugur menyembah bumi.
Sh. Umamah Al-Edrus
17hb Oct 2010.
Gombak, K.Lumpur.
Khamis, 30 Julai 2015
TIKUS
Nak termuntah menonton watak tikus dalam cerita Teenage Mutant Ninja Turtle. Bukan itu sahaja malah seperti terbau-bau busuknya watak tikus itu keluar dari skrin tv. Dengan gambaran lendir dan air liur meleleh dari mulut dan hidungnya yang muncung… loya tekak menggambarkannya. Tikus tua berjanggut, bertaring, berekor panjang dan hodoh ini rupa-rupanya ‘tok guru’ atau ‘sensei’ kepada 4 ekor/orang ‘turtle’. Dalam cerita Kungfu Panda, watak beruang yang gemuk dan lembik, tikus tua juga menjadi tok gurunya. Tikus diangkat menjadi satria. Sementara dalam cerita Tom And Jerry, si tikus bernama Jerry memperbodohkan anjing, kucing dan majikannya. Mickey Mouse berwatak lincah , dilihat sebagai tikus cerdik malah disanjung-sanjung pula.Menjadi idola kepada kanak-kanak sehingga anak-anak begitu bahagia memiliki Mickey Mouse yang dijelmakan dalam bentuk boneka dan lukisan sedangkan hakikatnya tikus itu hidup di lorong-lorong kotor dan berenang-renang di dalam longkang yang busuk. Dalam cerita Ratatouille, seekor tikus ini dikatakan tidak suka memakan makanan yang kotor malah dapat menyediakan makanan yang enak dan menjadi tukang masak yang hebat. Tikus diangkat menjadi chef.
Begitulah sesetengah manusia cuba mengangkat martabat tikus, menjadikannya satria, cerdik, pembersih, chef dan haiwan yang hebat. Namun Tuhan tidak menjadikan tikus untuk menjadi satria, cerdik, pembersih dan hebat. sebaliknya menjadikan tikus antara haiwan yang paling kotor. Sementara tikus-tikus putih yang dijadikan Tuhan telah dipelihara untuk tujuan kajian perubatan… mencari panawar bagi manusia sebab tikus dikatakan mempunyai sistem badan yang sama dengan manusia dan membunuhnya ketika melakukan ujian makmal tidak dianggap zalim. Tikus Belanda pula dijadikan binatang penghibur apabila dijadikan sirkus untuk anak-anak. Dan Tuhan jadikan haiwan kotor ini hidup untuk mengajar manusia akan erti menjaga kebersihan sebab manusia yang pengotor akan menjemput tikus untuk berkongsi rumah dan persekitarannya. Menjemput tikus bererti menjemput penyakit dan penyakit ‘kencing tikus’ dikatakan boleh membunuh. Jika tikus diangkat martabatnya, menjadi satria maka tentu dia akan membunuh para pengkaji perubatan kerana membunuh tikus-tikus putih. Kanak-kanak marah tikus dibunuh kerana telah terbit rasa sayang terhadap tikus idola dan tikus-tikus mahukan makanan yang bersih dan enak-enak, maka apakah yang akan terjadi kepada manusia itu sendiri?
Begitulah bagi sesetengah manusia, mahu mengangkat martabat binatang sementara kebanyakan manusia sudah jatuh martabatnya… pengotor, pengecut, pencuri, ganas, dengki, saling menyalahi dan lagi dan lagi.
,
sh. umamah sy. abdullah al-edrus
Kuala Lumpur.
27 Julai 2015
Langgan:
Catatan (Atom)